• Tarikh Kemaskini 17 September 2019

KENYATAAN MEDIA

 

PEMBERIAN BR1M ADALAH PELENGKAP KEPADA BANTUAN KEWANGAN KUMPULAN SASAR KPWKM

 

Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited dalam menyediakan pelbagai bantuan kewangan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya kesejahteraan mereka terpelihara dan dapat meneruskan kelangsungan hidup.

 

Skim bantuan yang diwujudkan adalah sebagai alat dalam proses membantu kumpulan sasar KPWKM ke arah pencegahan, pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup mereka secara menyeluruh.

 

Bantuan kewangan yang diberikan oleh KPWKM sesungguhnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas kumpulan sasar KPWKM yang rata-rata mempunyai pendapatan isi rumah di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK). Sehubungan itu pemberian BR1M oleh kerajaan adalah sebagai imbuhan tambahan terutamanya kepada kumpulan sasar KPWKM bagi membantu meringankan bebanan hidup serta menampung kos sara hidup seharian.

 

Saya menyokong langkah Kerajaan untuk terus memberikan BR1M terutamanya kepada kumpulan sasar KPWKM kerana mereka adalah golongan yang paling susah dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan cabaran kenaikan kos hidup.

 

Bantuan BR1M mungkin dilihat remeh kepada sesetengah pihak tetapi yang pastinya ia amat bermakna kepada mereka yang hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

 

Tuduhan yang mengatakan bahawa BR1M suatu unsur rasuah kepada rakyat juga tidak berasas kerana penerima BR1M adalah berdasarkan permohonan yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia megikut kriteria ditetapkan.

 

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan kerana sentiasa peka kepada keperluan kumpulan yang memerlukan terutamanya kumpulan sasar KPWKM. Sesungguhnya BR1M telah menjadi pelengkap kepada bantuan yang ditawarkan di bawah KPWKM.

 

Dato' Rohani Abdul Karim
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
31 Disember 2016
Putrajaya