• Tarikh Kemaskini 24 May 2023

Dua (2) orang pegawai Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) iaitu En. Azlan Shah Nazrudin, Pengarah LPPKN Negeri Sembilan dan Dr. Zuhrah Musa, Ketua Unit Klinikal, LPPKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah terpilih menyertai bengkel pertukaran pembelajaran anjuran United Nation Family Population Fund (UNFPA) selama tiga (3) hari di Bangkok, Thailand. Selain mereka, delegasi Malaysia turut disertai oleh YBrs. Dr Mohd Safiee bin Ismail, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) dan Dr Muhammad Firdaus bin Ujang, Ketua Sektor Kesihatan Remaja, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penyertaan LPPKN dalam Program Learning Exchange about Thailands Act for Prevention and Solution of the Adolescent Pregnancy dilihat sebagai peluang untuk memperkenalkan inisiatif baharu program intervensi di bawah KafeTEEN dalam membendung kehamilan dan seks luar nikah golongan remaja.

Pada sesi pembentangan, LPPKN turut berkongsi peranan dan aktiviti yang dijalankan oleh KafeTEEN di seluruh Malaysia. Pembentangan bertajuk Program Intervensi Dalam Kalangan Remaja di Malaysia: Suatu Perkongsian Dalam Perspektif KafeTEEN Malaysia, yang disampaikan oleh Dr. Zuhrah Musa mendapat maklum balas luar biasa kalangan peserta terdiri daripada Thailand International Cooperation Agency (TICA), UNICEF, UNESCO, Kementerian Kesihatan Thailand, wakil Indonesia dan Filipina.

Selain sesi pertukaran pembelajaran di dalam ruang seminar, peserta turut diberi pendedahan dan taklimat di beberapa lokasi seperti Hospital Phanat Nikom, Bangkok dan jabatan di bawah Kementerian Pendidikan Thailand.

Penyertaan Malaysia yang diwakili oleh LPPKN dan KKM ini diharap dapat memberi input baharu dalam menangani masalah kehamilan remaja kalangan negara peserta kerana ia merupakan isu global yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak.