-
Tarikh Kemaskini 27 February 2026
Kuala Lumpur – Semalam telah berlangsung program menyantuni 23 orang anak-anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia. Program ini merupakan inisiatif murni oleh Family Wellbeing Sdn. Bhd. (anak syarikat LPPKN) bagi berkongsi keberkatan bulan Ramadan.
Kehadiran YBhg. Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, telah menyerikan lagi majlis tersebut. Beliau telah meluangkan masa menyantuni anak-anak ini secara peribadi dengan menemani mereka memilih kelengkapan baju raya di sebuah pasaraya terkemuka.
Pendekatan menyantuni golongan sasar secara dekat ini selari dengan matlamat LPPKN dalam memperkasakan kesejahteraan emosi dan pembangunan keluarga. Usaha ini bukan sekadar meringankan beban kewangan, malah menyuntik nilai kasih sayang dan perhatian buat anak-anak tersebut dalam membuat persiapan Aidilfitri.
Semoga sumbangan ikhlas daripada Family Wellbeing Sdn. Bhd. ini dapat membawa keceriaan dan meningkatkan moral anak-anak ini untuk menyambut hari kemenangan yang bakal tiba.



