• Tarikh Kemaskini 13 June 2025

KUALA LUMPUR, 12 Jun 2025 – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan sukacitanya menerima kunjungan hormat daripada Delegasi Shanghai Municipal Health Commission ke Ibu Pejabat LPPKN. Sesi lawatan yang berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang ini memberi tumpuan kepada fungsi teras, perkhidmatan kesuburan, dan perkongsian ilmu mengenai rawatan kesuburan yang ditawarkan oleh LPPKN.

Delegasi seramai sembilan (9) orang ini terdiri daripada wakil-wakil Shanghai Municipal Health Commission serta Pegawai Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kunjungan ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan dan kepakaran LPPKN dalam bidang kesihatan reproduktif dan pembangunan keluarga.

Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat komprehensif mengenai LPPKN, yang merangkumi visi, misi, dan peranan agensi dalam pembangunan kekeluargaan. Ini diikuti dengan taklimat khusus mengenai Perkhidmatan Subfertiliti LPPKN, menyoroti pendekatan holistik dan inovatif dalam membantu pasangan yang berdepan dengan isu kesuburan.

Kemuncak lawatan adalah Lawatan ke Klinik Subfertiliti LPPKN di tingkat 6 dan makmal di tingkat 7. Delegasi berpeluang melihat sendiri kemudahan dan infrastruktur yang tersedia, serta memahami proses dan prosedur rawatan yang disediakan kepada klien.

Lawatan ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian pengetahuan yang berharga, tetapi juga mengukuhkan hubungan kerjasama antara LPPKN dan institusi kesihatan antarabangsa. LPPKN komited untuk terus menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif yang berkualiti demi kesejahteraan keluarga di Malaysia.