-
Tarikh Kemaskini 30 September 2026
Putrajaya, 29 Septermber 2026 - Kesihatan reproduktif perlu dilihat bukan sahaja sebagai agenda kesihatan, malah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan perubahan landskap demografi negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dalam ucapan perasmian National Reproductive Health Symposium 2026, berkata, kadar kesuburan jumlah (TFR) Malaysia terus menunjukkan penurunan, daripada 4.9 anak bagi setiap wanita pada tahun 1970 kepada 1.6 anak pada tahun 2024, jauh di bawah paras penggantian penduduk sebanyak 2.1 anak bagi setiap wanita.
Menurut beliau, perubahan tersebut turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk perubahan gaya hidup, tekanan ekonomi, peningkatan kos sara hidup, perkahwinan yang semakin lewat serta peningkatan penyertaan wanita dalam pendidikan dan kerjaya. Dalam masa yang sama, isu kesuburan tidak boleh dilihat sebagai isu wanita sematamata. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melibatkan 8,500 pasangan di 25 negara mendapati faktor lelaki menyumbang sepenuhnya atau sebahagiannya kepada 45.1 peratus kes infertiliti.
Data Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula menunjukkan 60 peratus keputusan analisis air mani bagi tempoh 2010 hingga 2019 adalah tidak normal. Sehubungan itu, pasangan disarankan mendapatkan penilaian dan rawatan kesuburan lebih awal. Data Subfertiliti LPPKN bagi tahun 2024 menunjukkan 44.2 peratus pasangan hanya mendapatkan rawatan selepas menunggu lebih daripada lima tahun untuk hamil. Justeru, mesej “Lebih Awal, Lebih Baik” perlu terus diperluas kepada masyarakat bagi menggalakkan pengesanan dan intervensi awal.
LPPKN turut memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesuburan melalui Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) yang diperkenalkan pada tahun 2025 dan diteruskan pada tahun 2026. Program ini merangkumi subsidi rawatan IUI kepada pasangan yang layak serta advokasi dan pendidikan kesihatan reproduktif, termasuk kesedaran mengenai kesuburan lelaki dan kepentingan saringan awal.
Pada simposium yang sama, YB Menteri turut menyempurnakan pelancaran Infertility Counselling Module for Primary Care yang bertujuan memperkukuh keupayaan anggota kesihatan dalam memberikan kaunseling dan maklumat yang tepat, menyokong pengesanan awal serta memperkemas proses rujukan pasangan kepada perkhidmatan kesuburan yang bersesuaian. Sebagai langkah jangka panjang, Pusat Subfertiliti Negara (PSN) di Shah Alam dijangka beroperasi pada tahun 2030 dan disasarkan menjadi pusat rujukan nasional dalam bidang kesuburan dan subfertiliti.
Pusat ini akan menggabungkan kepakaran klinikal, teknologi, penyelidikan, pendidikan, pembangunan modal insan, pengurusan data serta jaringan kerjasama bagi memperkukuh ekosistem kesihatan reproduktif negara. National Reproductive Health Symposium 2026 yang menghimpunkan sekitar 500 peserta daripada kalangan pakar klinikal, pegawai perubatan, ahli embriologi, pegawai sains, pegawai farmasi, ahli akademik, penyelidik dan pemegang taruh berkaitan menjadi platform memperkukuh kerjasama serta perkongsian kepakaran dalam bidang kesihatan reproduktif.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memastikan usaha memperkukuh kesihatan reproduktif diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih awal, berkualiti dan mudah diakses demi kesejahteraan keluarga serta masa depan negara.



