• Tarikh Kemaskini 30 January 2023

Kempen WCaRe merupakan inisiatif KPWKM di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam meningkatkan kesedaran semua pihak terutamanya wanita terhadap kepentingan melakukan saringan awal mengesan kanser serviks dan kanser payudara.

#CepatTahuCepatTindak

Semua wanita digesa mendapatkan perkhidmatan Ujian Mamogram dan Ujian HPV DNA di 49 buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN seluruh negara.

Yang Berhormat Dato Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika berucap merasmikan program ini turut menzahirkan terima kasih atas kerjasama rintis LPPKN Negeri Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam menjayakan program Gempur Saringan HPV DNA.

Dalam majlis yang sama, Yang Berhormat Menteri menyampaikan baucar WCaRe kepada wakil Pergerakan Wanita Tanjung Datu, wakil Beliawanis Tanjung Datu dan Ketua Kaum Kampung Bitokan 2 Daerah Lundu.

Antara pameran perkhidmatan yang diadakan ialah permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, sesi kaunseling, MamaCare dan pendaftaran kursus bagi wanita yang dikendalikan oleh Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.

Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM dan Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN.