-
Tarikh Kemaskini 19 August 2026
LPPKN PERAK, 18 Ogos 2026 - Lebih dari tiga ratus (300) orang telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Penduduk Sedunia Negeri Perak Tahun 2026 yang berlangsung di Grand Ballroom, Level 1, Kingston 15@Tower Regency Hotel and Suite, Ipoh, Perak Darul Ridzuan hari ini.
Salah satu pengisian sambutan ini adalah melalui pelaksanaan program seminar kependudukan yang mengangkat isu penuaan secara bermaruah yang membariskan Pegawai Kanan Kerajaan dan Ahli Akademik berpengalaman luas dalam membincangkan fenomena penuaan penduduk yang bakal mencorak masa depan Negeri Perak secara khususnya dan Malaysia secara amnya.
Sepanjang seminar ini, para peserta bukan sahaja didedahkan dengan pelbagai perspektif berkaitan kesan penuaan penduduk tetapi juga perancangan jangka panjang dalam memperkasa kumpulan warga emas ini dalam bidang keusahawanan, kesihatan, kesejahteraan dan kesukarelawan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Pn. Juwairiya binti Zulkifli, Timbalan Pengerusi LPPKN.
Dalam ucapanya sebentar tadi, beliau berharap agar semua pihak yang hadir sama ada daripada kalangan penggubal dasar, penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan dapat menjadikan perbincangan dalam seminar ini sebagai medan percambahan buah fikiran yang bermakna untuk pembangunan dasar dan program intervensi berkaitan penuaan penduduk di Negeri Perak.
Tambahnya lagi, perbincangan sedemikian amat penting dan bertindak sebagai kerangka dalam merancang dasar, menyesuaikan struktur sokongan sosial dan memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan warga emas dalam demografi semasa.
Bersesuaian isu-isu penuaan yang dibincangkan dalam seminar hari ini, beliau juga menyatakan keperluan pembangunan ekonomi penjagaan (care economy) diberi perhatian kerana berupaya membuka peluang pekerjaan dalam bidang penjagaan profesional, kesihatan komuniti, rehabilitasi, teknologi buatan dan perkhidman sokongan keluarga yang kesemuanya memerlukan penyelarasan di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik, sektor swasta, pertubuhan masyarakat dan komuniti setempat.
Turut hadir, YBrs. En. Chai Cheng Ho @ Dennis Chai, Pengarah LPPKN Negeri Perak, En. Mohd Syariff bin Abdul Wahab,
Timbalan Pengarah, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Perak, YB Tan Kar Hing, Ahli Parlimen Gopeng, YB Wasanthee A/P Sinnasamy, ADUN Hutan Melintang, YB Wong Cai Yi, ADUN Simpang Pulai dan YBhg. Dato' Tan Lian Hoe, Pengerusi PAWE UTC Perak.



