-
Tarikh Kemaskini 22 April 2026
21 April 2026 (Selasa) | Hotel Dorsett, Putrajaya:- Dalam usaha memperkukuh institusi keluarga di Malaysia, LPPKN melalui kerjasama Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga (BPKK) dan Bahagian Kesejahteraan Keluarga (BKK) telah menganjurkan Sesi Research-to-Development (R2D) Badan Pendamai LPPKN pada 21 April 2026 di Hotel Dorsett, Putrajaya.
Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, dengan kehadiran YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN dan YBhg. Dato’ Badrul Hisham Alias, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada sesi penutup.
Sesi ini menampilkan enam (6) pembentangan oleh penyelidik Geran Penyelidikan LPPKN 2025 yang berkongsi dapatan kajian berkaitan cabaran rumah tangga, perceraian serta keperluan intervensi yang lebih berkesan.
Melalui pendekatan R2D, sesi ini bukan sekadar perkongsian ilmu, tetapi turut menjadi ruang perbincangan untuk menghasilkan cadangan yang praktikal dan boleh dilaksanakan, dipandu oleh Moderator berpengalaman iaitu YBhg. Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Hussin, Presiden, Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) dan YBhg. Prof. Dr. Siti Aishah Hassan, Ahli Jawatankuasa, Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).
Antara fokus utama termasuk penambahbaikan SOP Badan Pendamai, pembangunan modul sokongan sebelum dan selepas perceraian serta pengukuhan usaha pendamaian awal. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan LPPKN dalam memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada program dan perkhidmatan yang lebih berkesan demi kesejahteraan keluarga Malaysia.



