• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

KOTA BHARU 26 Ogos - Masih terdapat segelintir masyarakat negeri ini yang menolak kaedah pelalian atau imunisasi melalui pemberian vaksin meskipun ia perlindungan paling mudah dan berkesan untuk mencegah penyakit.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (gambar) berkata, statistik menunjukkan liputan program pelalian bayi di negeri itu sudah mencapai tahap 95 peratus manakala selebihnya adalah berikutan keengganan ibu bapa membenarkan anak-anak divaksin.

Beliau berkata, pelalian penting bagi mencegah kanak-kanak terutamanya daripada menjadi mangsa penyakit seperti cacar, polio dan batuk kering.

"Terdapat segolongan kecil tidak terima kaedah pelalian, pertamanya kerana menganggap ia tidak 'natural' dan yang kedua kerana meragui status halal haram vaksin itu sendiri.

"Pandangan sesetengah pengamal perubatan alternatif yang tidak bersetuju dengan kaedah pelalian juga menjadi salah satu faktor yang boleh mencacatkan usaha kerajaan dalam melaksanakan program pelalian.

"Pelalian telah lama terbukti kaedah pencegahan yang berkesan dan sudah tentu lebih murah daripada kos merawat penyakit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2013 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini semalam.

Hadir merasmikan majlis itu ialah Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Seminar yang memberi fokus kepada isu rokok, pelalian dan pengguguran dihadiri kira-kira 700 peserta itu adalah program anjuran bersama Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Razin berharap para ilmuwan agama dapat membantu Jabatan Kesihatan dalam menghebahkan kepentingan pelalian dan pandangan agama mengenainya kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan RM126 juta setahun seluruh negara untuk membeli vaksin manakala RM50 juta pula diperuntukkan kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak tahun lalu bagi melaksanakan program pelalian Human Papillomavirus (HPV) bagi mencegah kanser serviks.

Bagaimanapun, jelasnya, liputan pelalian yang tinggi atau keadaan di mana sesuatu kelompok masyarakat mempunyai ramai penduduk yang sudah mendapat pelalian boleh membantu melindungi kalangan kecil yang belum menerima pelalian.

"Kalau kita tidak beri pelalian kepada anak kita dan dia berada dalam satu masyarakat di mana kebanyakan mereka tidak terima pelalian, maka dia terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit yang sepatutnya boleh terlindung dengan pelalian.

"Namun, kalau dia berada dalam kelompok yang ramai menerima pelalian, maka dalam kaedah perubatan ini dirujuk sebagai kesan 'herd immunity' iaitu dia dilindungi oleh kelompok masyarakat yang berupaya menghalang penyebaran penyakit," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online