• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

KUALA LUMPUR, 2 NOVEMBER 2014, – "Penghayatan kepada lima teras keluarga bahagia iaitu kasih sayang, akhlak, sihat dan selamat, berilmu serta harmoni (KASIH) tidak akan terlaksana sekiranya tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. Adalah lebih baik sekiranya nilai-nilai murni dalam keluarga disampaikan melalui tindakan dan perlakuan yang lebih caring, loving dan menyentuh perasaan seperti melalui pelukan. Sebenarnya banyak cara untuk meluahkan kasih sayang dan budaya prihatin dalam keluarga yang boleh menyemarakkan suasana kebahagiaan tetapi saya lebih tertarik dengan pelukan keluarga khususnya pelukan ibu bapa kepada anak-anak". Ini dinyatakan oleh YB. Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2014 dan melancarkan Kempen "10 Saat Pelukan Keluarga" di Pekarangan Stadium Bukit Jalil hari ini.

Bulan November telah diisytiharkan oleh Y.A.B Perdana Menteri sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan pada Jun 2012. Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (SBKK) buat julung kalinya diadakan pada 3 November 2012 yang juga telah disempurnakan oleh Y.A.B Perdana Menteri di Pekan, Kuantan. Pada tahun ini SBKK bertemakan "Keluarga Bahagia, Negara Sejahtera" kerana keluarga yang bahagia akan melahirkan individu yang berkualiti dan beperibadi mulia yang seterusnya menjadi pemangkin kepada proses perubahan dan pembangunan sesebuah negara.

Tambahan YB. Dato' Sri Rohani Abdul Karim, kerajaan sentiasa sedar dan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa khususnya dalam isu penjagaan anak termasuk kos jagaan. Oleh demikian, pihak kerajaan melalui KPWKM berusaha untuk mengurangkan beban ibubapa dwikerja dengan mewujudkan beberapa inisiatif mesra keluarga seperti yang diumumkan dalam bajet 2014 yang lepas. Kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kelayakan pendapatan isi rumah bulanan penjawat awam daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit untuk mendapatkan subsidi yuran taska sektor awam berjumlah 180 ringgit sebulan. Di samping itu kerajaan juga telah bercadang untuk memberi bantuan yuran taska sebanyak 250 ringgit sebulan kepada ibu bapa berpendapatan tidak melebihi 900 ringgit yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar dibawah JKM. KPWKM melalui LPPKN juga menyediakan kursus-kursus keibubapaan seperti Parenting@work (keibubapaan di tempat kerja), SMARTbelanja@LPPKN (kewangan keluarga), SMARTSTART (pra perkahwinan) dan Ilmukeluarga@lppkn (ceramah keibubapaan) bagi memberi pengetahuan kepada ibu bapa berhubung kemahiran keibubapaan.

Diakhir ucapan YB. Dato' Sri Rohani Abdul Karim berharap agar ibubapa dapat meluangkan masa selama 10 saat setiap hari untuk memeluk anak-anak mereka bagi menzahirkan kasih sayang mereka seperti kata Pakar psikoterapi Virginia Satir "Kita perlu 4 pelukan sehari untuk hidup. Kita perlu 8 pelukan sehari untuk kesihatan. Kita perlu 12 pelukan sehari untuk pertumbuhan awet muda dan kebahagiaan hidup."

Majlis ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila dianggarkan seramai 30,000 orang yang terdiri daripada ibubapa, anak-anak serta datuk dan nenek hadir bagi memeriahkan majlis sambutan ini yang diadakan bersekali dengan Karnival Lan Berambeh.