-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
KOTA KINABALU: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyasarkan sejumlah 200,000 wanita di negara ini berumur 18 tahun layak menerima vaksinasi Human papillomavirus (HPV) bermula Julai 2012 hingga Jun 2014.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azizah Mohd Dun berkata, wanita perlu mendapatkan vaksinasi HPV bagi mencegah kanser serviks.
Katanya, sehingga kini, seramai 50,000 wanita layak telah menerima vaksinasi HPV sejak Program Vaksinasi HPV dilaksanakan pada Julai tahun lalu.
“Dalam pembentangan Bajet 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak RM50 juta sebagai inisiatif kedua bagi program itu mensasarkan wanita berumur 18 tahun.
“Langkah ini menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk terus menjaga kesejahteraan rakyat, khususnya golongan wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena pelancaran Program Vaksinasi Human papillomavirus (HPV) untuk wanita, peringkat negeri Sabah, di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, dekat sini, kelmarin.
Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Jornah Mozihim.
Azizah berkata, kanser serviks boleh mengakibatkan kematian kerana ramai yang mendapatkan rawatan hanya apabila penyakit itu berada pada peringkat serius.
“Oleh itu saya menggesa wanita di negara ini supaya mengubah pemikiran dan sikap untuk turut melakukan ujian ‘pap smear’ selain vaksinasi HPV,” katanya
Katanya, kajian di peringkat antarabangsa dan kebangsaan mendapati kebanyakan kanser serviks disebabkan oleh sejenis virus dikenali sebagai HPV.
“Jika seseorang wanita mempunyai jangkitan HPV yang ‘persistent’, wanita tersebut berisiko mendapat prakanser sel serviks dan kanser serviks. Oleh itu amat penting bagi wanita menjalani saringan pap smear untuk mengesan HPV dan sel yang tidak normal dalam serviks,” katanya.
Azizah berkata, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, liputan vaksinasi HPV kepada remaja perempuan berumur 13 tahun di negara ini adalah 87.12 peratus.
“Dijangka 90 peratus populasi wanita di negara ini yang lahir bermula tahun 1993 dan tahun seterusnya akan menerima vaksinasi HPV melalui program Vaksinasi HPV,” katanya dan menambah Malaysia adalah negara Asia Tenggara pertama menyediakan program seumpama itu secara percuma.
Program seumpama itu telahpun dilaksanakan di peringkat antarabangsa bermula 2007 iaitu di Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand, Belgium, Greece, Portugal dan Korea Selatan.
Azizah berkata mengikut The National Cancer Registry 2007 yang diterbitkan pada tahun 2011 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga paling kerap berlaku di kalangan wanita, selepas kanser payudara dan kolorektal.
“Laporan 2010 Pertubuhan Kesihatan Sedunia/ Institut Catala d’ Oncologia (WHO/ ICO) pula menyatakan seramai 8.7 juta wanita Malaysia berumur 15 tahun ke atas mempunyai risiko mendapat kanser serviks.
“Laporan tersebut turut menyatakan bahawa setiap 2,216 wanita di negara ini disahkan mempunyai kanser serviks dan 631 wanita meninggal dunia akibat kanser serviks,” katanya.
Sehubungan itu katanya masyarakat secara keseluruhannya termasuk ibu bapa dan wanita berumur 18 tahun perlu merebut peluang mendapatkan vaksinasi HPV secara percuma melalui program ini.
“Saya menyeru agar ibu bapa memberi sokongan dan memastikan anak-anak mereka yang mencecah usia 18 tahun mendapat vaksinasi sebanyak tiga dos dalam tempoh enam bulan mengikut jadual vaksinasi,” katanya.
Sumber : New Sabah Times



