• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

KUALA LUMPUR 12 Mei - Seramai 30,000 ibu di seluruh negara menerima cenderamata yang diedarkan sempena program sambutan Hari Ibu 2013 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.

Pengedaran cenderamata berupa kek cawan, bunga mawar serta belon itu diadakan di pelbagai lokasi pasar raya serta hospital di semua negeri antaranya Pasar C-Mart Arau, Perlis; Wad Bersalin Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; Tesco Extra Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Mydin Meru, Perak.

Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Anjli Panalal K. Doshi berkata, pengedaran cenderamata oleh kementerian itu merupakan tanda penghargaan terhadap pengorbanan kaum ibu negara ini.

"Ini merupakan satu langkah untuk menzahirkan rasa cinta dan kasih kami terhadap ibu-ibu di Malaysia kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di sini.

"Malah, dengan tema 'Respek Wanita', diharap program kali ini dapat memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya menghormati hak wanita, khususnya kaum ibu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut di ruang legar kompleks beli-belah Sogo di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Datin Munirah Abdullah Bajanuddin.

Program tersebut turut mendapat kerjasama LPPKN, JPW serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tambah beliau, program tersebut akan berlangsung selama sebulan dengan pelbagai aturcara telah disediakan.

"Antaranya program pendidikan wanita bagi setiap negeri di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) terpilih; program pemeriksaan mamogram percuma untuk wanita berumur 40 tahun dan ke atas serta program vaksinasi Human Papiloma Virus (HPV) percuma untuk wanita yang lahir pada 1993 dan 1994," katanya.

Menurut Dr. Anjli Panalal, perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan sepanjang program itu boleh didapati di klinik-klinik LPPKN berdekatan.

 

Sumber : Utusan Malaysia