• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

 

KUALA LUMPUR, Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara  Universiti Malaya (UM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah dimeterai pada 1 April 2013 bertempat di Bangunan Canselori, Universiti Malaya. Penjanjian seumpanya ini menandakan kejayaan bersama LPPKN dan UM dalam meluaskan hubungan kerjasama yang sedia terjalin.

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh oleh Dr. Anjli Panalal Doshi, Pemangku Ketua Pengarah LPPKN  dan Profesor Dr. Awg Bulgiba Bin Awg Mahmud, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UM, disaksikan oleh En. Nasaruddin Abdul Mutallib, Timbalan Ketua Pengarah LPPKN (Pengurusan) dan Prof. Dr. Noor Azina Ismail, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM.

 

Penandatangani MoU ini sesungguhnya membuktikan komitmen dari kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, perkongsian sumber, latihan pegawai dan kakitangan, penganjuran aktiviti dan program serta pelbagai bidang lain yang bakal diterokai. Ianya merupakan satu lagi lonjakan besar khususnya kepada LPPKN yang sudah pasti akan memberi manfaat yang terbaik dan mewujudkan situasi menang-menang di antara kedua-dua pihak sepanjang lima (5) tahun mulai 1 Mac 2013 hingga 28 Februari 2018 MoU ini dilaksanakan. MoU ini bakal memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sosial negara terutamanya dalam aspek kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia.

Dengan adanya MoU ini, LPPKN dan UM akan berusaha untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengeratkan kerjasama teknikal dalam bidang-bidang yang berikut:

  1. Menggalak dan menjalankan penyelidikan kependudukan, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif
  2. Melaksanakan program latihan kepada pegawai dan kakitangan, termasuk pertukaran pegawai dan kakitangan antara kedua-dua  pihak bagi tujuan latihan praktikal;
  3. Menggalakkan penggunaan data LPPKN oleh pelajar UM tertakluk kepada peraturan LPPKN;
  4. Menaja aktiviti penyelidikan yang memberi manfaat bersama;
  5. Berkongsi hasil penyelidikan, penerbitan akademik dan maklumat berkaitan;
  6. Menganjur aktiviti atau program yang berkenaan dengan bidang kerjasama; dan
  7. Bidang kerjasama lain selaras dengan objektif MoU ini.

 

 

Di bawah MoU ini, Unit Pengajian Kependudukan (UPK) di bawah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran akan menyelaskan aktiviti kerjasama dengan LPPKN, dengan penglibatan pelbagai fakulti dan pusat di UM.  Ahli UPK Pengajian Kependudukan adalah terdiri dari penyelidik dari agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan Universiti tempatan. Justeru itu, UPK ini boleh memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam membawa bersama ramai penyelidik dari pelbagai universiti dan agensi.

 


Para penyelidik LPPKN dan UM akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang yang dikenalpastikan seperti berikut:

  1. Penurunan fertiliti dan objektif pertumbuhan penduduk jangka panjang (termasuk masalah penjagaan anak bagi wanita yang bekerja)
  2. Migrasi dalam negeri, pengagihan semula penduduk dan urbanisasi (perbandaran)
  3. Migrasi antarabangsa (pengantungan kepada buruh asing), dan disaspora
  4. Kesihatan reproduktif (termasuk remaja dan wargatua), kadar penggunaan kontraseptif yang rendah)
  5. Isu keluarga dan gender
  6. Isu warga tua (perlindungan keselamatan sosial) dan penuaan aktif dan produktif
  7. Pendidikan dan modal insan
  8. Isu data dan penyelidikan demografi

Selain itu, pihak LPPKN dan Unit Pengajian Kependudukan sedang merancang untuk menganjurkan satu persidangan antarabangsa mengenai migrasi antarabangsa pada 11 Julai 2013 sempena Hari Penduduk Sedunia yang diraikan setiap tahun.  Penyelidik dari negara anggota ASEAN dan Australia serta pegawai kanan kerajaan dijangka ke persidangan ini untuk bersama-sama membincang isu isu yang memerlukan pengubahsuaian dalam dasar dan program.