-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
KUALA LUMPUR - Kira-kira 26 peratus atau 636,000 warga emas di negara ini tidak pernah diberi bantuan kewangan oleh anak-anak mereka manakala 27 peratus lagi menerima sekali dalam tempoh beberapa bulan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut menunjukkan kira-kira 36 peratus menerima bantuan kewangan setiap bulan.
Berdasarkan keadaan ini, kementerian bercadang meneliti keperluan menggubal undang-undang untuk menjaga kebajikan dan melindungi hak warga emas terutama berkaitan pemberian nafkah oleh anak-anak, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
"Jika nak mewujudkan sekarang undang-undang yang mewajibkan mereka membayar nafkah, adakah negara kita sesuai untuk dipraktikkan? Adakah diterima oleh semua orang? Mungkin tidak, sebab itulah kita perlu mengkajinya,” katanya selepas merasmikan seminar ’Law and Policies for Elderly Parents’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Katanya, sesetengah negara seperti Singapura, Amerika Syarikat dan China sudah mempraktikkan undang-undang yang mewajibkan anak-anak membayar nafkah kepada ibu bapa dan dikenakan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian.
Sumber : Bernama