-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
Sunway Universiti, SUBANG, 30 Oktober 2013 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ( KPWKM ) melalui agensi di bawahnya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara ( LPPKN ) telah melancarkan kempen bergerak bagi mempromosikan Program Vaksinasi HPV (PVHPV) untuk pelajar Sunway Universiti.
Kempen Bergerak PVHPV ke institusi pengajian tinggi seperti ini adalah yang kali keempat diadakan di Malaysia. Bagi kempen di Sunway Universiti, ia telah dimulakan dengan acara “dancing by elemet group”. Untuk Penyertaan di Sunway Universiti kali ini, seramai 843 pelajar telah menerima suntikan HPV tersebut.
Tujuan kempen ini dilancarkan adalah bagi meningkatkan kesedaran golongan wanita yang lahir pada tahun 1993, 1994 dan 1995 bagi mendapatkan suntikan vaksinasi HPV secara percuma untuk mencegah kanser serviks di mana daripada 99% kes kanser yang berkait rapat dengan Human Papilloma Virus, 70% daripadanya dikenalpasti disebabkan oleh jenis 16 dan 18 ( Sumber: Buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Vaksinasi HPV Untuk Wanita ). Suntikan vaksinasi HPV boleh didapati di mana-mana 58 buah Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh Malaysia atau di Pusat Kesihatan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang mengambil bahagian. Setakat ini di bawah Program Vaksinasi HPV LPPKN yang telah bermula sejak Julai 2012 hingga September 2013, seramai 117,045 orang wanita telah diberi vaksinasi.
Bagi tujuan tersebut, LPPKN akan mengadakan kempen bergerak ke Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang terpilih, bermula dengan Taylor University Subang Jaya dan seterusnya ke enam lagi lokasi iaitu di Kolej Tunku Abdul Rahman Setapak, Universiti Putra Malaysia Serdang, Kolej Sunway Subang Jaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Petaling Jaya, 1 Borneo Mall Sabah dan berakhir dengan ‘Konsert Selamatkan Aisyah’ secara besar-besaran di Universiti Institut Teknologi MARA Shah Alam.
Bagi peserta wanita yang mendapatkan suntikan Vaksinasi HPV di lokasi kempen akan diberikan pledge bracelet, di mana pledge bracelet akan bertindak sebagai pass masuk ke ‘Konsert Selamatkan Aisyah’ di Universiti Institut Teknologi MARA Shah Alam nanti.