-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
Kempen Bergerak PVHPV ke institusi pengajian tinggi seperti ini adalah yang kali ketiga diadakan di Malaysia. Bagi kempen di UPM, ia telah dimulakan dengan acara berbasikal beramai-ramai mengelilingi kampus pada 23 dan 24 Oktober 2013. Penampilan istimewa Duta PVHPV iaitu Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ( Angkasawan Negara Malaysia ) turut menceriakan kempen PVHPV ini. Untuk Penyertaan di UPM kali ini, seramai 172 pelajar telah menerima suntikan HPV tersebut.
Tujuan kempen ini dilancarkan adalah bagi meningkatkan kesedaran golongan wanita yang lahir pada tahun 1993, 1994 dan 1995 bagi mendapatkan suntikan vaksinasi HPV secara percuma untuk mencegah kanser serviks di mana daripada 99% kes kanser yang berkait rapat dengan Human Papilloma Virus, 70% daripadanya dikenalpasti disebabkan oleh jenis 16 dan 18 ( Sumber: Buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Vaksinasi HPV Untuk Wanita ). Suntikan vaksinasi HPV boleh didapati di mana-mana 58 buah Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh Malaysia atau di Pusat Kesihatan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang mengambil bahagian. Setakat ini di bawah Program Vaksinasi HPV LPPKN yang telah bermula sejak Julai 2012 hingga September 2013, seramai 117,045 orang wanita telah diberi vaksinasi.
Bagi tujuan tersebut, LPPKN akan mengadakan kempen bergerak ke Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang terpilih, bermula dengan Taylor University Subang Jaya dan seterusnya ke enam lagi lokasi iaitu di Kolej Tunku Abdul Rahman Setapak, Universiti Putra Malaysia Serdang, Kolej Sunway Subang Jaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Petaling Jaya, 1 Borneo Mall Sabah dan berakhir dengan ‘Konsert Selamatkan Aisyah’ secara besar-besaran di Universiti Institut Teknologi MARA Shah Alam. Bagi peserta wanita yang mendapatkan suntikan Vaksinasi HPV di lokasi kempen akan diberikan pledge bracelet, di mana pledge bracelet akan bertindak sebagai pass masuk ke ‘Konsert Selamatkan Aisyah’ di Universiti Institut Teknologi MARA Shah Alam nanti.
( Gambar Kanan : Duta PVHPV Datuk Dr. Sheikh Muszaphar sedang memberi suntikan HPV kepada remaja perempuan. )