• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sambutan Hari Bapa anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini, mendapat sambutan meriah warga kota.

Bertemakan 'Terima Kasih Bapa' sambutan itu memberi peluang kepada orang ramai meraikan golongan bapa dengan pelbagai aktiviti menarik dan menghiburkan.

Antara aktiviti yang diadakan adalah senamrobik, 'Jom Beriadah Bersama Bapa', 'Pancing Keluarga' (simulasi memancing ikan), 'Make Over Ayah', 'Kendung Kasih' (pertandingan bapa dukung anak),

'Timbang Kasih' (pertandingan timbang bola bapa dan anak) serta pemeriksaan kesihatan secara percuma.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, sambutan tersebut bertujuan mengajak seluruh masyarakat melahirkan penghargaan terhadap bapa sebagai ketua keluarga yang mencari nafkah dan perlindungan.

Dalam masa sama, tambah beliau, sambutan itu turut mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan bapa supaya dapat menjadi contoh dan ikutan kepada ahli keluarga lain.

"Apabila bapa mempunyai tubuh badan sihat, sudah tentu mereka berkeupayaan untuk terus bekerja, menjaga keluarga, menjana pendapatan dan menyumbang bakti kepada negara.

 

"Sebab itu, aspek kesihatan menerusi aktiviti riadah bersama keluarga perlu dijadikan asas kepada bapa dalam membina sebuah keluarga yang sihat dan sejahtera," katanya ketika ditemui dalam program itu.

Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Napsiah Omar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) kementerian itu, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Sementara itu, kakitangan awam, Sabariah Hashim, 41, berkata, program tersebut secara tidak langsung mengajak orang ramai mengenang sumbangan golongan bapa yang banyak berkorban membela kepentingan keluarga.

"Sebab itu kita mesti meraikan insan-insan bergelar bapa kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dalam memelihara keharmonian dan kesejahteraan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, kanak-kanak, Adam Haris Azmi, 8, turut mengambil peluang menyertai program tersebut bagi meraikan bapanya yang dianggap hero dalam keluarga.

 

"Ayah telah memberi didikan yang terbaik dengan harapan kami akan berjaya mencapai cita-cita. Saya sangat sayangkan ayah sebab itu setiap tahun saya sambut Hari Bapa supaya ayah gembira.

"Walaupun seorang yang tegas tetapi ayah sangat baik dan penyayang," katanya.

 

Sumber Berita & Gambar : Utusan Malaysia