-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
BETONG 30 Jun - Kes keganasan terhadap wanita di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus apabila 2,576 kes dilaporkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 2,295 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, peningkatan itu membimbangkan kerana jenayah berkenaan tidak mengenal mangsa sama ada wanita dewasa mahupun kanak-kanak perempuan.
Berikutan itu katanya, kementeriannya meningkatkan usaha bagi membangkitkan kesedaran masyarakat dalam menangani kes keganasan sedemikian seperti Program Respek Wanita.
"Sekecil manapun kes keganasan terhadap wanita, kita mesti menanganinya secara bersepadu bagi memartabatkan maruah kaum wanita di negara ini.
"Kita tidak boleh biarkan maruah dan hak wanita direndahkan sebaliknya membela hak kewanitaan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Tandang Sari, Kampung Kalok, Pusa, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Siti Norlasiah Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor.
Mengenai Program Respek Wanita, Rohani berkata, program kesedaran mengekang kes jenayah keganasan terhadap wanita itu turut melibatkan penyertaan golongan bapa.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan maklum balas terkini, terdapat permintaan daripada golongan bapa supaya program berkenaan dianjurkan secara berasingan daripada peserta wanita.
"Program ini secara tidak langsung meningkatkan kesedaran kaum lelaki agar sentiasa menyayangi, menghormati dan menghargai wanita di sekeliling mereka," katanya.
Sumber & Gambar : Utusan Malaysia



