-
Tarikh Kemaskini 20 December 2019
KUALA LUMPUR, 1 NOVEMBER, 2013 – Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Hajah Napsiah Omar, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara telah melancarkan “Kick off” Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia di Plaza Tol, Sungai Besi hari ini. Majlis ini merupakan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) agensi dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad.
Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) akan disambut pada bulan November pada setiap tahun. Sambutan ini telah diistiharkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia di Dewan Rakyat pada 25 Jun 2012 dan telah dilancarkan pada 3 November 2012 di Pekan, Pahang. Pada tahun ini tema Sambutan BKK1M adalah “Jom Utamakan Keluarga” yang bertujuan untuk memastikan perspektif keluarga terus diarusperdanakan oleh segenap lapisan masyarakat dan menggalakkan penglibatan individu, badan-badan korporat dan NGO secara langsung dalam memastikan kesejahteraan keluarga di Malaysia.
Kick off bagi Sambutan BKK1M 2013 bertujuan untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia dan juga sebagai ”Peringatan Mesra” untuk mereka mengambil kesempatan sempena cuti umum Deepavali dan Awal Muharam bagi meluangkan masa bersama keluarga dan mengeratkan lagi hubungan antara intergenerasi.
Menurut Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Hajah Napsiah Omar, berdasarkan satu dapatan tinjauan pendapat yang dibuat oleh LPPKN terhadap 149 orang bapa pada bulan Jun tahun ini sempena sambutan Hari Bapa Kebangsaan 2013, didapati 36% kaum bapa meluangkan masa sebanyak 1 hingga 10 jam seminggu dengan anak-anak mereka. Dapatan ini menunjukkan bahawa komunikasi bapa dengan anak amat kurang. Manakala tinjauan secara online oleh LPPKN pada tahun 2010 pula menyatakan pandangan remaja bahawa ibu bapa adalah yang patut mengajar kemahiran hidup dan nilai kepada anak-anak iaitu 88.2% diikuti guru 85.9% dan media 70%. Maka ibu bapa masakini perlu meningkatkan lagi kemahiran keibubapaan khususnya menguruskan keseimbangan kerjaya dan juga keluarga.
Perubahan gaya hidup masa kini banyak memberi cabaran kepada anak dalam penjagaan ibubapa yang berusia terutamanya ibu bapa yang uzur. Atas desakan kehidupan dan faktor ekonomi anak-anak tinggal berjauhan daripada ibubapa. Jarak yang jauh dan keadaan kewangan yang tidak baik menyebabkan anak mengabai orang tua mereka. Ada segelintir anak yang terpaksa menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua sebagai jalan terbaik, khususnya ibubapa yang memerlukan penjagaan rapi. Kajian yang dijalankan pada tahun 2004 oleh LPPKN mendapati 9.7 peratus ibu bapa tua tinggal bersendirian, 24.4 peratus menghadapi fenomena empty nest, 39.5 peratus berasa kesunyian dan 26 peratus tidak pernah menerima apa-apa bantuan kewangan daripada anak-anak.
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menawarkan pelbagai kursus Keibubapaan dan kekeluargaan dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan. Antaranya Kursus Pra Perkahwinan : SmartStart, Keluarga@Kerja (Parenting@Work), Pengurusan Kewangan Keluarga : SmartBelanja@LPPKN dan Ilmu Keluarga@LPPKN yang mengandungi kursus Keibubapaan Anak Kecil, Keibubapaan Anak Remaja, Kebapaan dan Pemantapan Perkahwinan serta Pembangunan Remaja
Bagi maklumat lebih lanjut berkaitan kursus keibubapaan dan kekeluargaan, sila layari www.lppkn.gov.my atau menghubungi Bahagian Pembangunan Keluarga di talian 03-26937555. Di majlis ini Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Hajah Napsiah Omar berkesempatan mengedarkan poster Bulan Keluarga Kebangsaan 2013 dan Buku Jom Utamakan Keluarga kepada keluarga yang pulang ke kampung sempena Cuti Umum Deepavali dan Maal Hijrah.