SIARAN MEDIA HENTIKAN PENULARAN COVID-19: LINDUNGI HAK DAN KESIHATAN WANITA DAN GADIS
KUALA LUMPUR, 11 JULAI - ‘Hentikan Penularan COVID-19: Lindungi Hak dan Kesihatan Wanita dan Gadis’ (Putting The Brakes On Covid-19: How To Safeguard The Health and Rights of Women and Girls Now) merupakan tema sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020 yang diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Sehubungan dengan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) ingin menarik perhatian dan kesedaran semua pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu dan cabaran kependudukan di Malaysia terutamanya golongan wanita dan gadis.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa lebih 70 peratus petugas sektor kesihatan dan sosial adalah golongan wanita. Oleh itu, adalah amat wajar penghargaan diberikan kepada mereka yang telah banyak berkorban masa dan tenaga serta bertungkus lumus sebagai barisan hadapan demi memastikan kesihatan setiap penduduk dan individu terjamin daripada dijangkiti COVID-19.
Demi memastikan keselamatan kesihatan wanita dan gadis dilindungi KPWKM telah mewujudkan Talian Khas Kaunseling COVID-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada wanita dan orang ramai yang terkesan akibat penularan wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perkhidmatan tele-kaunseling 24 jam setiap hari merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa berada di tahap yang stabil.
Bagi memastikan golongan wanita yang bekerja terus produktif, majikan di negara ini juga digalakkan untuk melaksanakan kaedah bekerja dari rumah, memberi kebenaran waktu kerja anjal dan sistem penggiliran jadual kerja antara suami dan isteri yang mempunyai anak kecil. Meskipun mencabar, langkah ini membantu ramai wanita khususnya yang berkeluarga untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan memanfaatkan sepenuhnya kepesatan teknologi komunikasi di samping melindungi kesihatan mereka daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19.
UNFPA menganggarkan bahawa tempoh enam (6) bulan di dalam tempoh PKP akan menyebabkan tujuh (7) juta kehamilan yang tidak dirancang di seluruh dunia. Dalam memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan reproduktif ketika tempoh kawalan pergerakan, LPPKN bekerjasama dengan UNFPA menyediakan khidmat nasihat perancang keluarga secara atas talian dan juga khidmat penghantaran kontraseptif kepada pelanggan terutamanya kumpulan berpendapatan rendah. Selain itu, pendidikan reproduktif secara atas talian turut disampaikan kepada remaja.
Bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan UNFPA serta Pusat Pengajian Kependudukan, Universiti Malaya, akan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kajian pendapat umum secara atas talian, seminar melalui webinar pada 27 Julai ini mengenai The Social, Health and Economic Impact of COVID-19 in Malaysia yang akan membincangkan tentang norma baharu kehidupan termasuk kesannya terhadap sosial, ekonomi dan kesihatan reproduktif. Sebarang maklumat lanjut mengenai sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020 boleh diperoleh dengan melayari laman web LPPKN: www.lppkn.gov.my.
####
Disediakan oleh:
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)