Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

HM-BM-berita



KAJIAN KESAN COVID-19 KE ATAS KELUARGA CETUS JELAJAH PEDULI KELUARGA

IPOH, 13 MAC KAJIAN Kesejahteraan Diri Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Akibat Pandemik COVID-19 Di Kalangan Keluarga Komuniti oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kajian Impak COVID-19 Ke Atas Keluarga Berpendapatan Rendah Di Bandar oleh UNICEF telah mencetuskan program intervensi kepedulian keluarga yang dinamakan sebagai Jelajah Peduli Keluarga.
 
Program turun padang ini bertujuan mendekati ahli keluarga yang mudah terkesan (vulnerable) bagi memberi khidmat sokongan dan membantu meningkatkan daya tahan keluarga dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang.
 
Berdasarkan kajian pertama, 43.9 peratus responden menyatakan mengalami tekanan kewangan dan 32.2 peratus, berhadapan konflik keluarga terutama bagi komuniti kediaman rumah pangsa. Manakala kajian kedua mendapati 30 peratus responden isi rumah sukar mendapat akses khidmat kesihatan. Justeru, aksesibiliti kepada khidmat sokongan keluarga terhadap ahli masyarakat terutama kumpulan sasar terjejas perlu dipertingkatkan.
 
"Komuniti Flat Ashby Road, Ipoh merupakan komuniti pertama peringkat Negeri Perak yang mendapat manfaat daripada Program Jelajah Peduli Keluarga 2021 ini," demikian menurut YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa ditemui media usai majlis pelancaran Jelajah Peduli Keluarga Peringkat Negeri Perak.
"Tujuan utama Jelajah Peduli Keluarga adalah untuk menyokong dan melindungi kebajikan rakyat serta membantu ahli keluarga untuk pulih dan terus kekal sejahtera semasa dan selepas PKP selain sebagai satu platform untuk pemimpin turun padang bertemu rakyat.
 
Pada majlis sama, Datuk Seri Rina Mohd Harun, turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM 443,500.00 bagi program Subsidi Mamogram dan saringan HPV DNA kepada LPPKN Negeri Perak serta mensasarkan lebih empat (4) ribu wanita mendapat manfaat dalam 23 lagi jelajah bagi Negeri Perak, selepas ini.
Empat (4) Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Amal Murni Malaysia, Persatuan Informasi Pelancongan dan Kesihatan Perak, Pusat Kaunseling Agape Cawangan Ipoh dan Pertubuhan Pembangunan Kerohanian Insaniah Malaysia turut menerima Geran Khas Peruntukan Perbendaharaan KPWKM bagi menjalankan program kekeluargaan kepada kumpulan sasar Negeri Perak.
 
Pakej turun padang siri jelajah, selain di Negeri Perak akan membawa bersama perkhidmatan sokongan keluarga yang lain seperti perkhidmatan saringan kesihatan, perancang keluarga, khidmat nasihat kaunseling keluarga bagi kesejahteraan mental dan program kesejahteraan remaja iaitu KafeTEEN serta perkhidmatan daripada rakan strategik sama ada Persekutuan atau Negeri.
 
Turut hadir dalam majlis ini adalah YB Datuk Wan Norashikin binti Wan Noordin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, YBhg. Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM dan Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN.
 
 
 
 
Disediakan oleh:
Unit Penerangan dan Pendidikan
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Negeri Perak Darul Ridzuan