Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

HM-BM-berita



HENTIKAN PENULARAN COVID-19: LINDUNGI HAK DAN KESIHATAN WANITA DAN GADIS

 

KUALA LUMPUR, 11 JULAI – ‘Hentikan Penularan COVID-19: Lindungi Hak dan Kesihatan Wanita dan Gadis’ (Putting The Brakes On Covid-19: How To Safeguard The Health and Rights of Women and Girls Now) merupakan tema sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020, hari ini.

Justeru, bersempena dengan Sambutan Hari Penduduk 2020, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) ingin menarik perhatian dan kesedaran semua pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu dan cabaran kependudukan di Malaysia.  

 

Pandemik COVID-19 bukan sahaja menyebabkan krisis kepada kesihatan awam, malah kepada ekonomi dan pasaran buruh keseluruhannya. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa lebih 70 peratus petugas sektor kesihatan dan sosial adalah golongan wanita. Oleh itu, adalah amat wajar penghargaan diberikan setelah mereka yang bertungkus lumus sebagai barisan hadapan demi memastikan kesihatan setiap penduduk dan individu terjamin daripada dijangkiti COVID-19.

Demi memastikan keselamatan kesihatan wanita dan gadis dilindungi KPWKM telah mewujudkan Talian Khas Kaunseling COVID-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada wanita dan orang ramai yang terkesan akibat penularan wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perkhidmatan tele-kaunseling 24 jam setiap hari merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa berada ditahap yang stabil.

Selain itu, majikan di negara ini juga digalakkan untuk melaksanakan kaedah bekerja dari rumah, memberi kebenaran waktu kerja anjal dan sistem penggiliran jadual kerja antara suami dan isteri yang mempunyai anak kecil ketika pusat jagaan dan sekolah masih ditutup. Meskipun mencabar, langkah ini membantu ramai wanita khususnya yang berkeluarga untuk terus produktif dengan memanfaatkan sepenuhnya kepesatan teknologi komunikasi di samping melindungi kesihatan mereka daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Malaysia merupakan antara negara terbaik dalam menghadapi pandemik COVID-19. Sehingga 26 Jun, kadar penyembuhan kes COVID-19 di Malaysia adalah tertinggi kalangan negara anggota ASEAN iaitu 96.4 peratus. Kadar kematian akibat COVID-19 di Malaysia juga antara terendah seluruh dunia iaitu 1.41 peratus. Trend penurunan jumlah kes harian tempatan sehingga merekodkan angka satu digit sejak akhir-akhir ini membuktikan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai COVID-19 serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) semakin tinggi.

 

UNFPA menganggarkan bahawa tempoh enam (6) bulan di dalam tempoh PKP akan menyebabkan tujuh (7) juta kehamilan yang tidak dirancang di seluruh dunia. Dalam memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan reproduktif ketika tempoh kawalan pergerakan, LPPKN bekerjasama dengan UNFPA menyediakan khidmat nasihat perancang keluarga secara atas talian dan juga khidmat penghantaran kontraseptif kepada pelanggan terutamanya kumpulan berpendapatan rendah. Selain itu,  pendidikan reproduktif secara atas talian turut disampaikan kepada remaja.

 

Bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara  (LPPKN) dan UNFPA serta Pusat Pengajian Kependudukan, Universiti Malaya, akan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kajian pendapat umum secara atas talian, seminar melalui webinar yang akan membincangkan tentang norma baharu kehidupan termasuk kesannya terhadap sosial, ekonomi dan kesihatan reproduktif. Justeru, sebarang maklumat lanjut mengenai sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020 boleh diperoleh dengan melayari laman web LPPKN: www.lppkn.gov.my.

 

 

 

 

 

Disediakan oleh:

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara