Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2



KPWKM LANCAR PROGRAM #JOMCHILLOUT@kafeTEEN BANTU REMAJA HADAPI PASCA PKP

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melancarkan Program #JomChillOut@kafeTEEN di kejiranan Fasa B, Persint 8, Putrajaya, hari ini.

Pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diiringi oleh YB Dato’ Mohd Nizar Zakaria, Pengerusi LPPKN dan Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN.

Program #JomChillOut@kafeTEEN bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai remaja mendapat akses kepada perkhidmatan kafeTEEN terutamanya mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial sepanjang tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan ia juga sebagai kesinambungan kepada Pusat Remaja kafeTEEN secara premis di 18 lokasi seluruh negara.

Ia juga adalah salah satu inisiatif bagi menangani isu kesihatan reproduktif di kalangan remaja dan bagi mengurangkan tekanan serta meningkatkan daya tahan mental golongan remaja dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19.

Antara pihak terlibat dalam perlaksanaan Program #JomChillOut@ kafeTEEN adalah komuniti setempat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Pusat Remaja KafeTEEN komited membantu remaja melalui zaman perkembangan remaja secara sihat terutama dalam aspek kesihatan reproduktif dan sosial. Sehingga kini, LPPKN telah mewujudkan sebanyak 18 buah Pusat Remaja KafeTEEN di 10 buah negeri bagi memberi perkhidmatan berkaitan kesihatan reproduktif remaja. Sejak penubuhan pada 2005 hingga kini, seramai 636,722 remaja telah mengambil bahagian dalam program pendidikan dan pembangunan kemahiran, manakala 34,837 orang pula telah mendapatkan perkhidmatan kesihatan reproduktif dan 13,503 orang remaja mendapatkan perkhidmatan kaunseling sosial di Pusat remaja KafeTEEN.

Bermula November 2019, LPPKN telah melancarkan aplikasi myKafeTEEN bagi memperluaskan capaian maklumat dan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial. Sehingga kini, seramai 7,400 orang pengguna mendapat manfaat melalui aplikasi myKafeTEEN ini. Selain itu, remaja juga mempunyai capaian kepada pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial melalui platform Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube kendalian fasilitator keluarga dan remaja LPPKN. Sejumlah 259,315 orang remaja yang telah menerima manfaat menerusi platform media sosial sepanjang pandemik COVID-19.