Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2



KPWKM LANCAR DEKLARASI KELUARGA MALAYSIA

CYBERJAYA, 25 NOV.– Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan Deklarasi Keluarga Malaysia (DKM) yang mengandungi enam (6) prinsip teras sebagai komitmen bersama semua pihak untuk membangunkan institusi keluarga yang sihat, sejahtera dan resilien sebagai asas kestabilan sosial.

 Enam prinsip tersebut adalah memartabatkan institusi keluarga yang terdiri daripada kepelbagaian generasi sebagai asas pembentukan negara yang sejahtera. 

 Kedua, memperkukuh peranan keluarga dalam pembentukan nilai murni sebagai asas perpaduan masyarakat. 

 Ketiga, memperkasa penglibatan masyarakat dalam pengukuhan sistem sokongan keluarga sejahtera. 

 Keempat, menekankan kepentingan melindungi hak dan keselamatan keluarga dalam segenap lapisan masyarakat dan kelima mendukung segala inisiatif dan menggembling segala sumber untuk meningkatkan pengukuhan institusi perkahwinan dan keluarga. 

 Terakhir adalah menyokong usaha memanfaatkan penggunaan teknologi secara bijaksana bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan keluarga.

 

Menurut YAB Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, "DKM bertujuan meningkatkan komitmen dan mengajak semua lapisan masyarakat supaya kembali memberi keutamaan terhadap institusi keluarga dalam segala usaha, perancangan dan tindakan. Elemen perpaduan menerusi nilai kekeluargaan dalam kejiranan akan mencetuskan ikatan kasih sayang yang berpanjangan di dalam masyarakat dan negara.”

 Bagi menggerakkan penglibatan semua pihak menjayakan DKM, KPWKM melalui LPPKN turut membangunkan satu platform berbentuk direktori keluarga secara atas talian yang boleh dilayari oleh semua rakyat Malaysia.

"Direktori ini diwujudkan sebagai one stop centre secara informatif dalam memberi khidmat sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukan.
Sebanyak hampir 100 agensi kerajaan dan NGO penyedia khidmat berkaitan  perkahwinan dan perceraian, warga emas, keibubapaan, kewangan keluarga, kaunseling dan terapi  boleh diperolehi melalui platform berkenaan," tambah beliau. 

 Dalam majlis sama yang diadakan di Dewan Malaysian Global Innovation And Creativity Centre (MAGIC), seramai tujuh (7) orang telah menerima anugerah Khas Keluarga Malaysia bagi lima (5) kategori iaitu ibu, bapa, suami/isteri, datuk/nenek dan penjaga dan dua lagi anugerah khas juri.  Pencalonan bagi anugerah ini dibuka pada 15 hhingga 31 Ogos yang lalu.  Penjurian bagi penerima anugerah berdasarkan pengisahan keluarga yang boleh menjadi inspirasi dan contoh kepada keluarga yang lain. (Nama penerima seperti lampiran)

 Turut hadir adalah Puan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Junaidah Kamaruddin, Ketua Setiausaha Kementerian dan Dato’ Dr. Narimah Awin, Pengerusi LPPKN.

KONVENSYE SToP KEBANGSAAN : CABARAN MEDIA SOSIAL DALAM PEMBANGUNAN GENERASI

KUALA LUMPUR, 5 NOVEMBER 2019 – Majlis penutup Konvensyen SToP Kebangsaan “Cabaran Media Sosial Dalam Pembangunan Generasi” yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Narimah Awin, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Konvensyen ini dianjurkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) ini diadakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah peruntukan Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP) KPWKM melalui agensinya LPPKN.

Program berbentuk forum ini menampilkan 3 panel profesional iaitu Prof. Madya Dr. Nur Izura Hudzair (UPM), Encik Fauwaz Hasbullah (LPPKN) dan Ustaz Hasri Harun (UNISEL) serta Puan Hajah Nor Aizan Ismail (Pengarah SToP Kebangsaan) sebagai moderator. Ucap utama disampaikan oleh Dr. Hisham Yahya Al-Talib (Presiden International Institute of Islamic Thought).

UNIT PENGURUSAN PROGRAM DAN KELUARGA

BAHAGIAN KESEJAHTERAAN KELUARGA

BENGKEL LATIHAN ASAS KAPASITI PENJAGAAN  IBU SELEPAS BERSALIN MAMACARE 2019

 

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melaksanakan Bengkel Latihan Asas Kapasiti Penjagaan  Ibu Selepas Bersalin Mamacare bermula pada tahun 2012. Pada tahun 2019, sebanyak 15 bengkel telah dilaksanakan pada bulan April hingga September melibatkan 300 orang peserta telah dilatih yang menjadikan keseluruhannya seramai 1,431pengamal di seluruh Malaysia.

Bengkel Latihan Pembangunan Kapasiti ini dijalankan berasaskan garis panduan yang disediakan oleh LPPKN, Unit TCM, KKM dan JPK. Peserta yang berjaya mengikuti latihan akan dianugerahkan Sijil Keterampilan yang mengiktiraf kelayakan mereka sebagai Pengamal MamaCare. 

Fasa pelaksanaan program terbahagi kepada 3 iaitu:

Fasa 1 – Sesi latihan

 Peserta (pelatih) dipilih daripada wanita dalam kalangan isi rumah B40 berdasarkan kelayakan dan syarat-syarat yang ditetapkan. Proses pemilihan peserta dilaksanakan dengan kerjasama tenaga pengajar MamaCare. Peserta yang dipilih akan diberikan latihan menggunakan Modul Penjagaan Selepas Bersalin MamaCare yang dibangunkan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh JPK. Peserta turut dilatih dalam aspek asas keibubapaan dan kaunseling. Tempoh masa bagi 1 bengkel adalah 4 hari 3 malam.

Fasa 2 – Penilaian 10 jam

 Pelatih MamaCare akan menjalani latihan amali di Pusat Keluarga LPPKN/premis LPPKN (seluruh negara). Pelatih perlu menjalani latihan amal di bawah pengawasan tenaga pengajar MamaCare bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 jam.

 Fasa 3 – Perkhidmatan di rumah/ Spa

 Setelah tamat latihan dan menjalani latihan amali, Pengamal MamaCare boleh memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah atau spa. Senarai pengamal MamaCare yang menawarkan perkhidmatan MamaCare disediakan mengikut negeri bagi memudahkan penyelarasan dan penawaran perkhidmatan kepada klien.  Bagi pengamal MamaCare yang mempunyai kemahiran ICT, mereka juga akan diberi bimbingan bagi perkhidmatan secara e-commerce.

 

BAHAGIAN KESEJAHTERAAN KELUARGA

PROGRAM GOOD ENOUGH PARENTING (GEP)

KUALA LUMPUR, 5 Nov : Sempena Bulan Keluarga Kebangsaan yang lazimnya disambut pada bulan November setiap tahun, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menganjurkan Program Good Enough Parenting (GEP) dengan kerjasama strategik Hope Worldwide Malaysia. Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Puan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Besar, Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut.

Sehubungan dengan itu,  bengkel GEP diadakan bermula 5 hingga 7 November 2019 membabitkan 43 orang peserta yang terdiri daripada Jurulatih LPPKN, Pegawai Jabatan kebajikan Masyarakat dan Institut Sosial Malaysia untuk melatih peserta menyediakan panduan kepada ibu bapa bagi memenuhi keperluan emosi teras anak mereka.

                     

 

Unit Pengurusan Program dan Keluarga, Bahagian Kesejahteraan Keluarga

 

Bulan Keluarga Kebangsaan 2019

HKK new 2019

PUTRAJAYA, 2 NOV. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjadi agensi pertama menyambut Bulan Keluarga hari ini dengan mengadakan sambutan Hari Keluarga peringkat Kementerian, seiring dengan pelancaran bulan November sebagai Bulan  Keluarga Kebangsaan 2019.

Majlis pelancaran serba ringkas namun meriah  bertemakan  “Kita Kan Keluarga” telah menggabungkan kesemua agensi di bawah KPWKM iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Institut Sosial Malaysia (ISM).  Pelbagai acara kekeluargaan turut diadakan sepanjang program berlangsung.

Tema “Kita Kan Keluarga” dipilih bagi menyeru masyarakat supaya memperkukuh nilai murni dan semangat kekeluargaan dalam institusi keluarga dan juga di luar persekitaran keluarga termasuk di tempat kerja. Komuniti dan organisasi tempat bekerja juga adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.

Selain itu, Sambutan Bulan Keluarga ini akan turut diraikan di semua peringkat komuniti, Agensi dan Kementerian. Ini adalah sebagai salah satu pengisian kepada Deklarasi Keluarga Malaysia (DKM) yang dijangka diadakan pada 25 November 2019 yang menggariskan komitmen Keluarga Malaysia bagi membina sebuah Negara Malaysia Baharu yang bersatu padu, bersih dan mengamalkan nilai-nilai berperibadi mulia melalui keluarga yang sejahtera, sihat dan resilien.

Justeru, pada tahun ini KPWKM menyeru dan menggalakkan semua Kementerian dan Agensi untuk mengadakan Hari Keluarga peringkat organisasi masing-masing dengan menggunakan tema “Kita Kan Keluarga” seterusnya mengaktifkan tanda pagar #kitakankeluarga di media sosial masing-masing.

Lebih banyak artikel..