HARI BERSAMA MEDIA
( LPPKN Agensi Pembangunan Keluarga )
..
MEGA, UTUSAN MALAYSIA, 24 NOVEMBER 2009
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengadakan
Hari Bersama Media baru-baru ini bertujuan bagi memberi lebih kefahaman kepada masyarakat mengenai peranan lembaga ini. Majlis yang diadakan di Hotel Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam ini turut dihadiri oleh Pengerusi LPPKN, Dato' Dr. Alex Mathews, Ketua Pengarah LPPKN, Dato' Aminah Abdul Rahman dan wakil-wakil media yang dijemput.
Dato' Dr. Alex yang baru dilantik pada 1 Mac lalu berkata, ramai yang menganggap LPPKN yang ditubuhkan pada tahun 1966 ini hanya berperanan sebagai sebuah badan yang merancang keluarga.
"Bagaimanapun peranannya adalah lebih daripada itu. LPPKN adalah sebuah badan yang dipertanggungjawabkan bagi pembangunan keluarga di mana institusi keluarga dapat dibangunkan dengan cara yang betul. LPPKN bukan seperti tanggapan ramai bahawa badan ini hanya berkaitan dengan pil perancang keluarga, kondom dan sebagainya," kata Dato' Dr. Alex.
Tambahnya, LPPKN mempunyai ramai kakitangan yang terpelajar dan terlatih dalam pelbagai bidang tertentu bagi membantu pembentukan masyarakat. Salah satu daripadanya ialah memberikan pelajaran dan pendidikan yang sempurna kepada golongan remaja, membuat kajian utama dan bekerjasama dengan pihak universiti dalam tempoh tiga tahun akan datang serta bekerjasama dengan pihak media bagi menyampaikan pengetahuan kepada rakyat.
"Di samping itu, banyak isu berkaitan keluarga yang harus dilihat dan diatasi. Antaranya masalah ibu tunggal, pengguguran, kehamilan di luar nikah, perceraian, kekeluargaan, kesuburan, amalan kontraseptif dan banyak lagi. Selain itu, LPPKN juga akan berusaha membuat dasar yang kukuh bagi mengatasi masalah perceraian yang meningkat dan perkahwinan rapuh," ujarnya lagi.
Sementara itu, Dato' Aminah berkata, bagi memantapkan institusi keluarga, LPPKN telah melancarkan program kebapaan di tempat kerja yang dilancarkan pada tahun 2007 dan mengadakan kursus sehari pada kakitangan sektor awam.
Beliau berkata, di antara pengisian kursus yang diadakan dalam empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil ini ialah memberikan kemahiran dan pengetahuan bagaimana hendak mengendalikan rumah tangga.
Selain itu, pihak kami melihat tentang perlunya memantapkan kemahiran remaja yang berusia 15 tahun ke atas mengenai cabaran dalam kehidupan. Untuk itu, kami bekerjasama dengan sekolah-sekolah untuk memberikan maklumat kepada remaja bagaimana hendak menangani halangan daripada aktiviti yang tidak sihat seperti seksualiti. Modul ini dijalankan di lima buah sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran di lima negeri iaitu Kelantan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang dan Pulau Pinang," jelasnya.