40,000 KES BARU KANSER DIKESAN SETIAP TAHUN
..
PENGERUSI LPPKN, Datuk Dr. Alex Mathews bersama-sama dengan Tan Sri Faizah Mohd Tahir dan Datuk Aminah Abdul Rahman pada majlis perasmian Klinik Nur Sejahtera Kota Kinabalu, Sabah.
The Sabah Times, 12 Disember 2009 - Kota Kinabalu : Kira-kira 40,000 kes baru penyakit kanser dikesan dinegara ini setiap tahun, kata Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato' Dr. Alex Mathews di sini kelmarin. Bagaimanapun katanya, hanya segelintir pesakit berkenaan mendapat rawatan sama ada kerana tanggapan kanser tidak dapat diubati atau kerana tiada pengetahuan yang sepenuhnya mengenai penyakit kanser.

"Kanser payudara merupakan kanser pembunuh utama di Malaysia, Daftar Kanser Kebangsaan (2003) melaporkan insiden kanser payudara di negara ini adalah 46.2 bagi setiap 100,000 wanita," katanya ketika berucap merasmikan Klinik Nur Sejahtera Kota Kinabalu di sini, kelmarin.

Dr. Alex berkata, penyakit kanser payudara merupakan pembunuh utama di kalangan wanita berumur 40 tahun ke atas, ini kerana peringkat umur ini adalah peringkat umur yang produktif bagi wanita sama ada kepada keluarga mahupun negara. "Adalah dianggarkan satu dalam sembilan orang wanita mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara dalam hayat mereka," katanya.
Dr. Alex berkata, pengesanan awal adalah penting bagi membolehkan rawatan awal dibuat, kanser payudara yang dikesan di peringkat awal dan mendapat rawatan perubatan mempunyai peluang sembuh sehingga 90 peratus.

Katanya, kerajaan telah meluluskan permohonan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberi subsidi sebanyak RM50 bagi setiap ujian mamogram yang dijalankan oleh wanita di pusat-pusat mamogram yang berdaftar dengan LPPKN sejak Mei 2007. Menurutnya, terdapat dua pusat mamogram yang berdaftar dengan LPPKN di negeri ini iaitu Klinik Dr. Kissey dan Pusat Perubatan Refflesia di Kota Kinabalu.

"Saya dimaklumkan sejak pusat mamogram ini melaksanakan program subsidi mamogram pada Ogos tahun ini, sebanyak 111 kes telah dirujuk dan enam kes didapati positif dan sedang menjalani rawatan lanjutan," katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua wanita untuk merebut peluang ini untuk melakukan pemeriksaan awal kanser payudara.

Dr. Alex berkata, para suami perlu berkongsi tanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam memastikan isteri dan anak mendapat penjagaan kesihatan yang sempurna. Dalam hal ini, katanya, amatlah penting para suami berpengetahuan dan memahami tentang kesihatan reproduktif, mengambil langkah-langkah wajar dalam melindungi kesihatan reproduktif setiap ahli keluarganya.

"Mereka (suami) juga perlu sentiasa menyokong pilihan penjagaan kesihatan reproduktif pasangan mereka, berkomunikasi dengan ahli keluarga mengenai isu-isu seks dan menggalakkan isteri menjalani pemeriksaan terhadap penyakit kanser berkala seperti pemeriksaan payudara dan pap smear," katanya.

Menurutnya, golongan wanita di negara ini sering menangguhkan hasrat untuk menjalani pemeriksaan sehinggalah mereka jatuh sakit atau mengesyaki menghidap barah atau ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan diri mereka.

Perkara ini, katanya, berlaku kerana faktor kesihatan terutamanya yang berkaitan reproduktif tidak pernah menjadi sesuatu keutamaan bagi wanita negara ini. "Kebanyakan wanita lebih gemar berbelanja membeli pakaian atau barang kemas walhal perbelanjaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan demi menyelamatkan nyawa diabaikan," ujarnya. Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya para suami membawa isteri mereka ke Klinik Nur Sejahtera LPPKN untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, sekurang-kurangnya sekali setahun.

Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Kota Kinabalu terletak di Api-Api Centre di sini, yang bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif terbaik untuk penduduk bandaraya Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, manakala klinik yang sama juga akan dibuka di Sandakan dan Semporna pada awal tahun depan.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Faizah Mohd Tahir, Ketua Pengarah LPPKN, Dato' Aminah Abdul Rahman dan Pengarah LPPKN Sabah, Abd Halil Omar.