• Tarikh Kemaskini 20 December 2019

PUTRAJAYA 13 Nov. - Lebih 70 peratus daripada 3,185 penagih dadah baharu yang dikesan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh tujuh bulan tahun ini merupakan golongan belia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, statistik AADK tersebut menunjukkan belia merupakan golongan paling mudah terdedah dengan risiko penagihan dan penyalahgunaan dadah.

"Walau bagaimanapun, jumlah penagih dadah baharu itu menunjukkan penurunan sebanyak 15.45 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat 3,767 orang.

"Ini menunjukkan kepentingan peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka bersih daripada pengaruh dan risiko penyalahgunaan dadah pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bual Bicara Kenali Anak Kita peringkat kementerian, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr. Siti Norlasiah Ismail dan Yang Dipertua Persatuan Pengasih (Pengasih), Datuk Mohd. Yunus Pathi.

Dalam majlis itu, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara LPPKN dan Pengasih bagi melaksanakan program Kemahiran Keibubapaan untuk kalangan keluarga yang berisiko.

Sehubungan itu, Rohani berkata, ibu bapa perlu berusaha menjadi contoh teladan baik kepada anak-anak khususnya di peringkat usia remaja.

"Perkara ini amat kritikal terutama kepada golongan bapa yang merupakan ketua atau pemimpin dalam sesebuah keluarga.

"Bapa perlulah memainkan peranan dalam mengurus, membimbing, mendidik dan menjadi tempat rujuk bagi ahli keluarganya," katanya.

Sumber : utusan online