• Tarikh Kemaskini 09 February 2022

SIARAN MEDIA SAMBUTAN BKM 2021 SEMARAK 5 NILAI UTAMA K.A.S.I.H DALAM KELUARGA KUALA LUMPUR, 7 Nov –YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob hari ini telah melancarkan Sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2021 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang telah di inspirasikan oleh YAB Perdana Menteri, sambutan Bulan Keluarga Malaysia pada tahun ini akan memberi fokus kepada 5 nilai pengkayaan Keluarga Malaysia, iaitu K.A.S.I.H yang merangkumi Kasih sayang, Akhlak atau pun peribadi mulia, Sihat fizikal dan mental, berIlmu dan Harmoni sebagai nilai yang perlu ada di dalam setiap ahli Keluarga. YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan bahawa Kerajaan akan terus mempromosi dan memberi penekanan khusus kepada 5 fokus tersebut sebagai pengisian penting dalam menjayakan program pendidikan sepanjang Bulan Keluarga Malaysia 2021. “Bagi memastikan konsep ini difahami secara lebih holistik, KPWKM akan menjalankan lebih kurang 120 aktiviti di seluruh negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat. Maklumat berkenaan program akan dipaparkan di dalam microsite khas yang dibangunkan sempena Bulan Keluarga Malaysia", ujar beliau semasa memberi ucapan aluan di Majlis Sambutan Bulan Keluarga Malaysia di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. Konsep Keluarga Malaysia yang di aspirasikan oleh Kerajaan hari ini akan terus dijadikan sebagai falsafah pentadbiran negara. Oleh itu, KPWKM akan meneruskan pelbagai usaha dalam memastikan institusi keluarga di negara ini terus terpelihara dan sejahtera. Antara aktiviti yang akan dijalankan sempena Bulan Keluarga Malaysia adalah Persidangan Kependudukan Kebangsaan pada 16 hingga 17 November, Forum Konsultatif Keluarga pada 25 November, pertandingan aktiviti Cuti-Cuti Keluarga di Negeri Sembilan bermula dari 1 hingga 21 November serta pelbagai lagi. Prihatin dengan situasi semasa keharmonian rumahtangga Keluarga Malaysia, KPWKM telah mengilhamkan inisiatif PRIHATIN RUMAH TANGGA. Inisiatif ini membolehkan pasangan-pasangan yang berhadapan dengan gelora dan getir kehidupan berkeluarga dapat berhubung terus dengan kaunselor LPPKN untuk sesi kaunseling dan nasihat pakar. Inisiatif ini direalisasikan dengan memperkenalkan Toll Free Helpline FamilyCare@LPPKN 1-800-82-0300. Selain itu juga, KPWKM turut menyediakan khidmat sokongan psikososial yang dinamakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang merupakan saluran alternatif untuk perkhidmatan pertanyaan dan aduan di kawasan-kawasan tumpuan masyarakat. Program anjuran penuh KPWKM dan LPPKN ini turut dihadiri YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Sri Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan, YBhg, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan juga, YB Dato’ Mohd. Nizar Zakaria, Pengerusi LPPKN.

### Disediakan oleh: UNIT KOMUNIKASI KORPORAT Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara