• Tarikh Kemaskini 13 September 2019

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YAB DATO' SERI DR. WAN AZIZAH BT WAN ISMAIL

TIMBALAN PERDANA MENTERI

MERANGKAP

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

13 Julai 2019 Forum

“KEIBUBAPAAN KREATIF MENDEPANI CABARAN ALAF BARU”

Sempena Sambutan

HARI IBU BAPA PERINGKAT KEBANGSAAN 2019

 DEWAN AUDITORIUM

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya kita dapat berhimpun dalam program Forum Keibu bapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru bersempena sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Kebangsaan tahun 2019 pada hari ini.

 

  1. Tahniah dan terima kasih kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di atas komitmen dalam penganjuran forum yang bermanfaat pada hari ini.

Tidak dilupakan pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sudi menjadi tuan rumah dalam penganjuran forum pada tahun ini.

Begitu juga kepada pihak-pihak lain yang terlibat sebagai rakan strategik pintar Kementerian bagi menjayakan program ini. Terima kasih.

 

Hadirin yang saya muliakan,

Pendahuluan

 

  1. Kita semua sedia maklum bahawa keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam membina generasi baru, melahirkan pewaris kepimpinan Negara yang menjadi penyambung nilai, budaya sesuatu bangsa dan ketamadunan manusia.
  1. Justeru itu, saya sangat mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan pada hari ini untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kepada ibubapa dalam menangani isu-isu kekeluargaan.

Saya amat berharap usaha ini tidak dipandang remeh dan saya yakin ianya akan dapat membantu memperkukuhkan institusi kekeluargaan di Negara kita dalam jangka masa panjang.

 

Hadirin yang saya muliakan,

CABARAN KELUARGA PADA MASA KINI

 

  1. Sesetengah fungsi keluarga semakin tergugat ekoran daripada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pembangunan yang pesat dalam bidang ekonomi, sosio budaya, politik dan teknologi.
  1. Selain itu, impak globalisasi dan perkembangan dunia ICT yang terlalu pantas juga telah mengubah gaya hidup kebanyakan orang, yang secara tidak langsung turut memberi impak kepada institusi keluarga.
  1. Saya faham bahawa adalah sukar untuk mengawal anak-anak alaf baru ini lebih-lebih lagi yang cenderung kepada teknologi tanpa sempadan.

Jadi, saya menyeru ibu bapa untuk menjadi kreatif dalam memainkan peranan masing-masing dalam mendidik anak-anak alaf ini. 

 

Hadirin yang saya muliakan,

 

  1. Antara masalah sosial yang membimbangkan dalam institusi keluarga hari ini adalah seperti sumbang mahram, pembuangan bayi, penderaan anak, keganasan rumahtangga, seks sebelum nikah dan video lucah.
  1. Untuk makluman semua, saya bersama YB Timbalan Menteri telah melancarkan Kempen Mencegah Pembuangan Bayi pada 27 Jun 2019 yang lalu.
  1. Poster-poster telah ditampal di 22 kawasan Rehat Dan Rawat (RnR) PLUS di seluruh Negara dengan mesej yang jelas, kami menyeru kepada mana-mana individu di luar sana, dapatkanlah bantuan sekiranya anda mempunyai sebarang konflik berkaitan bayi dalam kandungan tidak kira apa-apa sahaja isunya.
  1. Hubungilah Talian Kasih 15999, kami sedia membantu.
  1. Selain itu pihak Kementerian turut melaksanakan pelbagai program intervensi dan advokasi berkaitan isu-isu sosial, pembangunan kendiri remaja dan keluarga serta bermacam-macam lagi.
  1. Dapatkanlah perkhidmatan ini dengan menghubungi Pejabat-pejabat LPPKN, atau JKM yang terdekat dengan anda.

 

Hadirin yang saya muliakan,

 

  1. Kebanyakan pasangan suami isteri masa kini kedua-duanya bekerja.

Pada pandangan saya, keluarga sebegini cenderung untuk menghadapi masalah dalam pengurusan penjagaan anak, pengurusan keluarga dan pembahagian masa antara kerja dan kehidupan berkeluarga.

  1. Saya menyeru kepada anda semua, bincanglah dengan baik bersama pasangan masing-masing bagaimana untuk menguruskan keluarga kerana kita mahu elakkan daripada satu pihak sahaja yang terbeban, tidak kira ibu, ataupun bapa.
  1. Kita mestilah sama-sama berusaha mendidik dan meluangkan masa dengan anak-anak bagi memastikan institusi keluarga itu kekal utuh dan berfungsi dalam melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang.

 

Hadirin yang saya muliakan,

KEIBUBAPAAN KREATIF MENDEPANI CABARAN ALAF BARU

 

  1. Saya difahamkan forum yang bertemakan Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru telah membincangkan isu-isu dan cabaran berkaitan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak di alaf baru yang semakin kompleks ini.

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada anda semua yang telah bersama-sama pada hari ini berkongsi ilmu yang berguna untuk kita semua.

  1. Kesedaran mengenai ilmu keibubapaan kreatif perlu ada di dalam diri ibu dan bapa moden hari ini.

Menurut seorang pakar klinikal psikologis dalam bidang keibubapaan moden Dr. Becca Ballinger, terdapat beberapa tips untuk ibubapa era moden ini yang perlu diberi perhatian, antaranya:

  1. Kewujudan keluarga komuter (PJJ) yang mendorong Ibu bapa moden mengekalkan hubungan erat dengan anak-anak tanpa berada di samping mereka.

Dalam hal ini, penggunaan media sosial dilihat dapat membantu mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak jika digunakan dengan betul.

  1. Ibu bapa moden berusaha mencari keseimbangan antara terlalu mengawal (overprotective) atau pengabaian anak.
  • Ibu bapa moden inginkan anak-anak mereka ditanam dengan keinginan melibatkan diri dalam tugas-tugas yang menyumbang kepada masyarakat seterusnya menjadikan mereka lebih dewasa.
  1. Ibu bapa moden lebih cenderung membesarkan anak-anak dalam persekitaran keluarga yang unik berdasarkan kehendak, nilai dan kepercayaan masing-masing.
  1. Saya percaya perkara-perkara ini adalah antara yang telah dibincangkan dalam forum yang telah dilaksanakan pada hari ini.

 

Hadirin yang saya muliakan,

USAHA PIHAK KERAJAAN DAN KEMENTERIAN

 

  1. Pelbagai program pendidikan keibubapaan telah pun dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh Negara.

Sehingga Mac 2019, LPPKN telah melaksanakan sebanyak 21,561 program pendidikan kekeluargaan dan sejumlah 2.7 juta (2,692,980) peserta telah memperolehi manfaat daripadanya.

Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk berkerjasama, atau mungkin mahukan maklumat berkaitan program-program ini, boleh hubungi Pejabat LPPKN yang terdekat dengan anda.

  1. Untuk makluman semua, Kementerian Sumber Manusia telah mengiktiraf bidang kemahiran keibubapaan (Parenting Skills) dalam senarai latihan bidang berdaftar di bawah Human Resource Development Fund (HRDF).

 

Bermula 9 Julai 2019, LPPKN telah dilantik sebagai Penyedia Latihan Keibubapaan Berdaftar (Registered Training Provider) kepada majikan sektor swasta untuk tempoh 3 tahun.

  1. Pihak HRDF telah bersetuju membiayai 500 orang pekerja swasta terawal yang menghadiri kursus Keibubapaan LPPKN bagi tahun ini dengan nilai pembiayaan berjumlah RM62,500.00.

Ini merupakan projek rintis permulaan kerjasama di antara pihak HRDF dan LPPKN. Ianya layak ditawarkan kepada syarikat yang berdaftar dengan HRDF sahaja. Saya difahamkan buat masa ini, jumlah syarikat yang berdaftar adalah sebanyak 27,000.

  1. Buat masa ini, LPPKN telah mempunyai Kursus SMART Parenting yang telah tersenarai sebagai bidang latihan yang boleh dituntut (claimable training) oleh majikan kepada HRDF.
  1. Kos mengikuti kursus yang telah dibayar boleh dituntut kepada pihak HRDF oleh sama ada majikan atau pekerja sendiri, mengikut kesesuaian.
  1. Saya berharap insentif ini akan menggalakkan lebih ramai majikan swasta memberikan kerjasama untuk memberi kelonggaran kepada pekerja mereka untuk menghadiri kursus Parenting Skills ini.

 

INDEKS KESEJAHTERAAN KELUARGA

Hadirin yang saya muliakan,

 

  1. LPPKN telah membangunkan Indeks Kesejahteraan Keluarga 2016 (IKK 2016) yang berdasarkan 8 domain iaitu :
  2. Hubungan Kekeluargaan;
  3. Ekonomi Keluarga;
  • iii. Kesihatan Keluarga;
  1. Keselamatan Keluarga;
  2. Keluarga dan Keterlibatan Komuniti;
  3. Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian;
  • vii. Perumahan dan Persekitaran;dan
  • viii. Keluarga dan Teknologi Komunikasi
  1. Pada tahun 2016, skor indeks keseluruhan Negara kita adalah 7.33 daripada skala maksimum 10.
  1. Antara domain yang menjadi kekuatan kita adalah:
  2. Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian;
  3. Keselamatan Keluarga; dan
  • iii. Hubungan Kekeluargaan.
  1. Kita meletakkan sasaran bagi mencapai indeks kesejahteraan keluarga melepasi skor 8.00 menjelang tahun 2020 dan saya percaya kita akan mampu mencapai sasaran ini dengan kerjasama semua pihak InnsyaAllah.

 

Hadirin yang saya hormati,

PENUTUP

 

  1. Saya mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak LPPKN, UPM dan semua yang terlibat secara langsung serta tidak langsung menjayakan majlis pada hari ini.
  1.  
  2. Bagi memanjangkan manfaat ke seluruh negara, forum ilmu ini akan turut dianjurkan oleh LPPKN di setiap negeri sepanjang Julai ini.
  1.  
  2. Akhir kata, saya ingin menyeru kepada anak-anak agar bertanggungjawab terhadap ibu bapa dengan menghormati pengorbanan mereka serta memberikan kasih sayang kepada ibu bapa. Anak-anak boleh menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa bukan sahaja melalui pemberian hadiah malah melalui pelakuan. Kasih sayang kepada ibu bapa juga boleh ditunjukkan melalui pelukan dan bagi mereka yang berjauhan hubungilah dan ucapkan kata-kata sayang selagi mereka masih ada. Bagi yang tiada, keraplah mengirimkan doa untuk kesejahteraan kedua-duanya.
  1.  
  2. Memetik ayat dari surah Luqman ayat 14:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusuinya), dan menjaganya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang tuamu, hanya kepada-Kulah kembalimu."

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan program Forum Kita kan Keluarga: Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru bersempena sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Kebangsaan tahun 2019.

 

Sekian terima kasih.