Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2



Tinjauan Pendapat Sempena Sambutan Hari Bapa

LAPORAN

TINJAUAN PENDAPAT

Sempena Hari Bapa 2015

 

1.0     LATAR BELAKANG

          Sempena Hari Bapa, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menganjurkan Sambutan Hari Bapa peringkat Kebangsaan 2015. Bersempena dengan majlis tersebut dan seiring dengan Visi LPPKN dalam mengukuhkan keluarga ke arah pengwujudan masyarakat penyayang, satu tinjauan pendapat telah dijalankan pada 9 Jun 2015 bertempat di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah bagi mengumpulkan maklumat mengenai hubungan kekeluargaan dari segi aktiviti antara bapa dengan anak-anak, dan caragaya kebapaan yang diamalkan di dalam keluarga.

2.0     METODOLGI

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kuantitatif di mana sasaran responden adalah peserta program yang berstatus bapa. Teknik pensampelan mudah (Convenience Sampling) telah digunakan bagi memilih responden kajian. Kaedah pentadbiran soalan selidik adalah secara sendiri (self administered). Walau bagaimanapun, bagi kes-kes tertentu seperti kesukaran responden dalam membaca dan memahami soalan selidik dengan sendiri, kaedah temubual secara bersemuka telah digunakan. Penyertaan responden pula adalah secara sukarela. Soalan selidik yang digunakan mengandungi tiga bahagian iaitu aktiviti bersama anak, caragaya kebapaan di dalam keluarga, dan juga profil responden. Set soalan selidik adalah seperti di Lampiran 1.

3.0     HASIL TINJAUAN

3.1     Profil Responden

  • Secara keseluruhannya, terdapat seramai 200 orang responden telah berjaya diliputi. Hasil analisa menunjukkan kebanyakan responden (37.5%) berumur antara 40 hingga 49 tahun. Majoriti responden adalah masih berkahwin (99.0%). Dari segi taburan etnik, seramai 80.5 peratus responden adalah berbangsa Melayu manakala etnik Cina (9.0%) dan India (10.5%). Majoriti responden adalah beragama Islam (81.5%). Analisa mengikut tahap pendidikan pula menunjukkan hampir separuh (47.0%) daripada responden berpendidikan peringkat tertiari. Sementara itu, kebanyakan responden bekerja di sektor kerajaan (35.0%) dan swasta (24.5%). Manakala dari segi pendapatan isi rumah pula, lebih satu per tiga daripada responden berpendapatan rendah iaitu di bawah RM3,000. Walau bagaimanapun terdapat 11.0 peratus responden yang berpendapatan mencecah sehingga RM10,000 dan ke atas.(Jadual 1, Lampiran 2).
  • Secara purata, bilangan anak yang dimiliki bagi setiap responden adalah seramai 2 hingga 4 orang (Jadual 1, Lampiran 2). Hampir separuh daripada responden (42.5%) mempunyai anak berumur 5 hingga 9 tahun, diikuti dengan 10 hingga 14 tahun (37.5%), 15 hingga 19 tahun (31.5%), 1 hingga 4 tahun (25.5%), 20 hingga 24 tahun (24.5%), 25 tahun dan ke atas (15.5%) dan anak bawah 1 tahun (7.0%) (Jadual 2, Lampiran 2).
  • Hubungan keluarga yang harmoni dapat dibentuk dengan melakukan beberapa aktiviti
  • Dengan itu, responden telah ditanya tentang purata kekerapan yang diluangkan di antara bapa dengan anak-anak terhadap aktiviti-aktiviti tersebut. Didapati, aktiviti yang kerap kali dilakukan bersama adalah beribadah dan aktiviti bercuti. Sejumlah 90.0 peratus daripada responden beribadah bersama beberapa kali seminggu, diikuti dengan 75.0 peratus daripada responden bercuti atau melancong bersama-sama, 68.5 peratus daripada responden menonton televisyen bersama, 52.5 peratus daripada responden menonton wayang bersama, dan 46.5 peratus daripada responden makan bersama. Walau bagaimanapun, bagi aktiviti seperti membaca buku atau bercerita kepada anak, majoriti responden (72.0%) melakukannya beberapa kali setahun (Jadual 3, Lampiran 2).
  • Responden juga telah ditanya tentang purata masa dalam sehari yang diluangkan bersama anak-anak pada hari Isnin hingga hari Jumaat dan pada hujung minggu. Didapati, julat purata masa yang diluangkan bersama anak-anak bagi setiap responden adalah terlalu besar. Bagi memudahkan analisis, purata masa dikategorikan kepada 6 kategori iaitu 1-4 jam sehari, 5-8 jam sehari, 9-12 jam sehari, 13-16 jam sehari, 17-20 jam sehari dan 21-24 jam sehari.
  • Didapati, sejumlah 60.0 peratus responden meluangkan masa bersama anak-anak di antara 1 hingga 4 jam sehari pada hari Isnin hingga hari Jumaat. Manakala, sebanyak 25.0 peratus daripada responden meluangkan masa secara purata di antara 5 hingga 8 jam sehari. (Jadual 4, Lampiran 2).Hal ini adalah mungkin disebabkan kekangan waktu bekerja responden yang lazimnya pada hari Isnin hingga hari Jumaat.
  • Pada hujung minggu pula, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, didapati 34.0 peratus daripada responden meluangkan masa di antara 5 hingga 8 jam sehari dan 31.0 peratus meluangkan antara 1 hingga 4 jam sehari bersama anak-anak (Jadual 5, Lampiran 2).
  • Secara keseluruhannya, majoriti responden (52.0%) berpendapat bahawa purata masa yang mereka luangkan untuk bersama anak-anak adalah tidak mencukupi. Daripada peratusan tersebut, 43.5 peratus berpendapat purata masa yang mereka luangkan adalah mencukupi. Walau bagaimanapun, hanya sejumlah 4.0 peratus responden berpendapat bahawa purata masa yang mereka luangkan untuk bersama anak-anak adalah lebih daripada mencukupi (Jadual 6, Lampiran 2)
  • Di dalam kajian ini, cara gaya kebapaan ditanya dengan merujuk kepada cara bapa berkomunikasi dengan anak-anak, nilai-nilai yang dirasakan penting untuk diterapkan kepada anak-anak. Selain itu, responden turut ditanya mengenai (5) lima nilai teras keluarga bahagia yang diamalkan oleh seorang bapa di dalam sebuah keluarga.
  • Kajian mendapati kebanyakan daripada responden selalu berbual-bual bersama anak (87.0%), selalu memberi penghargaan/memuji anak-anak (55.5%), dan 47.5 peratus daripada responden selalu memeluk dan menicum anak-anak mereka. Tetapi tidak sebaliknya terhadap aktiviti merotan/memukul dan menjerit/memarahi di mana seramai 32.5 peratus daripada responden tidak pernah merotan/memukul anak-anak, manakala 41.5 peratus daripada responden pula jarang-jarang menjerit/memarahi anak-anak (Jadual 7, Lampiran 2).
  • Kajian juga mendapati sejumlah 85.0 peratus merasakan nilai mematuhi peraturan keluarga penting untuk diterapkan kepada anak-anak, diikuti dengan nilai bertanggungjawab (84.0%), berbuat baik dan bertimbang rasa (84.0%) dan nilai keagamaan (83.5%). 83.0 peratus daripada responden merasakan menjaga pergaulan adalah penting diikuti mendapat keputusan yang cemerlang (79.5%) dan berdikari (76.5%) (Jadual 8, Lampiran 2).
  • Hampir semua responden mengamalkan nilai seperti kasih sayang, kemesraan hubungan sesama ahli keluarga, masyarakat & komuniti, berilmu dan sentiasa mencari ilmu dan kesihatan dan keselamatan keluarga dalam caragaya keibuan mereka. Hasil analisa menunjukkan nilai yang selalu diamalkan dalam keluarga oleh majoriti responden adalah kasih sayang (89.5%), kesihatan dan keselamatan keluarga (89.5%) diikuti nilai berilmu dan sentiasa mencari ilmu (86.0%) serta nilai berakhlak mulia (75.0%). Walau bagaimanapun, hanya 63.5 peratus daripada responden menerapkan nilai Kemesraan hubungan sesama ahli keluarga, masyarakat & komuniti. (Jadual 9, Lampiran 2).
  • Responden turut ditanya tentang perasaan dihargai oleh anak-anak kepada mereka. Hasil analisa mendapati, sejumlah 98.5 peratus responden pernah berasa dihargai oleh anak-anak. (Jadual 10, Lampiran 2).

4.0     Rumusan Kajian

Secara keseluruhannya, hasil tinjauan pendapat ini dapat dirumuskan seperti berikut:

  1. Pada setiap hari, kebanyakan responden meluangkan masa bersama anak-anak adalah di antara 1 hingga 4 jam sehari. Bercuti dan beribadah adalah aktiviti yang kerap dilakukan bersama anak-anak. Kebanyakan responden berpendapat bahawa purata masa yang diluangkan bersama anak-anak adalah tidak mencukupi.
  1. Responden kerap berkomunikasi dengan anak-anak dengan cara berbual. Selain itu, ada antara responden yang berkomunikasi dengan cara memeluk/mencium dan memberi penghargaan/memuji anak-anak. Nilai dalam mematuhi peraturan keluarga, bertanggungjawab dan bertimbang rasa adalah nilai yang dirasakan penting oleh kebanyakan responden untuk diterapkan kepada anak-anak.
  1. Majoriti responden adalah seorang bapa yang mengamalkan nilai bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan serta keselamatan dalam sesebuah keluarga.Selain itu juga, majoriti responden berasa dihargai oleh anak-anak mereka.

Hasil daripada tinjauan pendapat ini akan digunakan sebagai panduan dan data sokongan bagi LPPKN untuk melaksanakan sebarang kajian yang berkaitan isu keibubapaan pada masa akan datang. Selain itu, maklumat daripada tinjauan ini boleh membantu agensi yang berkaitan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN dalam merancang program yang bersesuaian bagi meningkatkan keeratan kekeluargaan.