Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2



SMARTbelanja@LPPKN

LATAR BELAKANG
Pengurusan kewangan yang bijak adalah salah satu kunci kepada kesejahteraan keluarga. Pengurusan yang efektif dapat memastikan setiap sumber kewangan yang diterima dapat dinikmati dengan saksama oleh setiap ahli keluarga. Ini termasuklah pembiayaan keperluan asas keluarga seperti makanan, kesihatan, pendidikan dan aktiviti masa senggang.

Namun, peningkatan perbelanjaan dan kenaikan barangan sejak akhir-akhir ini merupakan fenomena yang bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Jika di lihat daripada perspektif perbelanjaan isi rumah di Malaysia, berpandukan maklumat yang diperolehi daripada Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2004/2005 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, perbelanjaan penggunaan bulanan purata isi rumah Malaysia bagi tahun 2004/2005 adalah sebanyak RM1,953.00 sebulan. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 19.7% berbanding tahun 1998/1999.

Penemuan daripada penyiasatan ini menunjukkan isi rumah di Malaysia membelanjakan 69.1% daripada perbelanjaan bulanan mereka ke atas empat kumpulan utama iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (22.0%); diikuti makanan dan minuman bukan alkohol (20.1%); pengangkutan (16.1%) dan restoran dan hotel (10.9%).

Kajian yang dijalankan oleh LPPKN pada 2004 mendapati, masalah kewangan adalah antara masalah utama yang sering membimbangkan mereka di samping masalah-masalah lain di dalam keluarga (KPKM, 2004). Selain itu, Kajian Pendapat mengenai Kesan Inflasi Terhadap Institusi Keluarga pada 2008, mendapati bahawa majoriti daripada responden (95%) menghadapi kesukaran untuk keluarga mereka menangani dan berhadapan dengan kenaikan harga barangan. Kajian turut mendapati bahawa 44% daripada responden mengatakan bahawa telah berlaku perselisihan faham di dalam keluarga sejak berlakunya peningkatan harga barang mahupun makanan terutama sekali pada keluarga yang berpendapatan rendah. Sungguhpun kajian ini dilaksanakan ketika negara dilanda inflasi yang tinggi, impak daripada senario tersebut masih dirasai oleh sebilangan keluarga pada masa kini.

Sehubungan itu, LPPKN melihat pengurusan kewangan keluarga merupakan satu kemahiran yang penting supaya keluarga boleh berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan yang ingin dicapai di samping dapat mengekalkan kesejahteraan keluarga

Susulan itu, bagi tahun 2009 Bahagian Pembangunan Keluarga LPPKN telah melaksanakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Program SMARTbelanja@LPPKN peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Y.B. Dato' Aminah Abdul Rahman, Ketua Pengarah LPPKN.

OBJEKTIF

  • Memberi kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab setiap anggota terhadap kewangan keluarga
  • Memberi pengetahuan kepada keluarga mengenai kepentingan merancang dan mempraktikkan pengurusan kewangan yang baik
  • Membolehkan keluarga membina pelan perancangan kewangan yang lebih berkesan
  • Membantu keluarga mengawal pendapatan yang diperolehi melalui perbelanjaan berhemah.

PENGISIAN

  • Kenali Wang Anda ("Pancing Ringgit")
  • Ceramah Pengurusan Kewangan Keluarga Secara Berhemah
  • "Pemburu Wang" (Money Hunter)
  • Tempoh - 1 hari

SIAPA YANG PERLU HADIR?
Terbuka kepada semua, keluarga yang berminat untuk meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan keluarga.

Sila layari http://ekursus.lppkn.gov.my/ untuk sertai kursus SMART Belanja