Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2



UCAPAN PERASMIAN YB PUAN HANNAH YEOH UCAPAN PERASMIAN YB PUAN HANNAH YEOH (SEMPENA SAMBUTAN HARI PENDUDUK SEDUNIA 2019)

 

UCAPAN PERASMIAN

YB PUAN HANNAH YEOH

TIMBALAN MENTERI PEMBANGUNAN WANITA,

KELUARGA DAN MASYARAKAT

 

SEMINAR

CABARAN UTAMA KEPENDUDUKAN DI MALAYSIA

DAN

PELANCARAN BUKU 'ANALISIS SITUASI KEPENDUDUKAN DAN KEKELUARGAAN DI MALAYSIA'

(SEMPENA SAMBUTAN HARI PENDUDUK SEDUNIA 2019)

11 JULAI 2019

KELAB PERSATUAN ALUMNI UNIVERSITI MALAYA (PAUM)

 

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Salam sejahtera dan selamat pagi semua.

  1. TAHNIAH dan TERIMA KASIH saya ucapkan kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), dan United Nations Population Fund (UNFPA) di atas komitmen dalam menjayakan Seminar 'Cabaran Utama Kependudukan di Malaysia' dan Pelancaran Buku Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluarga di Malaysia sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2019. [I would like to convey my gratitude and congratulate National Population and Family Development Board (NPFDB), University of Malaya (UM) and United Nations Population Fund (UNFPA) for co-organising today's event in conjunction with the World Population Day 2019].
  1. Komitmen agensi kerajaan, pihak swasta, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengintegrasikan faktor kependudukan dalam pembangunan negara seperti yang ditunjukkan hari ini wajar diberi pujian. (Today's event will provide an opportunity for all present to be made aware about the linkages between population and development and incorporate population factors into socio-economic development planning to bring about sustainable development for the benefit of the people).

        HARI PENDUDUK SEDUNIA

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Sambutan Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun bertujuan membangkitkan kesedaran semua lapisan masyarakat mengenai kepentingan isu-isu kependudukan dunia. Sambutan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1989 adalah simbolik kepada situasi dunia yang berhadapan dengan tekanan ke atas sumber semulajadi yang semakin berkurangan akibat pertambahan bilangan penduduk dunia yang mencecah lima (5) bilion orang pada 11 Julai 1987.
  1. Sejak pengumuman tarikh tersebut, pelbagai tema telah digunakan dan pada tahun ini, tema “25 years of the ICPD: Accelerating the Promise’ atau '25 tahun Persidangan Antarabangsa Kependudukan dan Pembangunan: Mempercepatkan Janji' telah dipilih.

PERSIDANGAN ANTARABANGSA MENGENAI KEPENDUDUKAN DAN PEMBANGUNAN (INTERNATIONAL CONFERENCE ON POPULATION AND DEVELOPMENT - ICPD)

  1. Pada tahun 1994, perwakilan 179 negara, termasuk Malaysia, telah menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Kependudukan dan Pembangunan (International Conference on Population and Development, ICPD) di Kaherah, Mesir, untuk membincangkan hubungkait antara kependudukan, pembangunan dan kesejahteraan individu. Persidangan ini menghasilkan satu Pelan Tindakan (Plan of Action atau PoA) yang diterima pakai oleh komuniti global.
  1. Ia telah mengubah paradigma kependudukan-pembangunan daripada sasaran bilangan penduduk kepada strategi mengutamakan keperluan dan aspirasi individu dalam pembangunan lestari. Agenda baru ini memperakui bahawa kesihatan reproduktif dan kesaksamaan gender merupakan kunci utama untuk mencapai pembangunan negara yang mapan.
  1. Justeru, Malaysia telah menggubal dasar dan melaksanakan program untuk mencapai objektif Pelan Tindakan tersebut. Kajian yang dijalankan menunjukkan Malaysia telah mencapai kebanyakan matlamat yang ditetapkan. Sejajar dengan pembangunan sosio-ekonomi yang pesat, Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index) Malaysia telah meningkat dari 0.725 pada tahun 2000 kepada 0.82 pada tahun 2017, dan dikategorikan sebagai negara yang mempunyai HDI yang sangat tinggi (very high HDI), dengan kedudukan ke-57 di dunia (UNDP, 2018).
  1. Taraf Pendidikan di Malaysia juga telah meningkat secara berterusan. Malaysia berjaya mengekalkan kadar enrolment sebanyak 97.9 peratus pada tahun 2017 berbanding 97.2 peratus yang dicatatkan pada tahun 2016. Kadar enrolmen bagi pendidikan menengah rendah menunjukkan peningkatan daripada 95 peratus pada tahun 2016 kepada 96.6 peratus pada tahun 2017. Kadar enrolmen bagi pendidikan menengah atas juga telah menunjukkan peningkatan daripada 85.8 peratus kepada 86.6 peratus pada tahun 2017.
  1. Sejajar dengan kemajuan negara dalam perindustrian dan perbandaran, corak guna tenaga juga telah menyaksikan perubahan yang drastik dari sektor pertanian kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan. Peratusan pekerja yang terlibat dalam sektor pertanian telah menurun dari 48 peratus pada tahun 1970 kepada 12 peratus pada masa sekarang. Manakala pekerja yang terlibat dalam penjualan dan perkhidmatan telah meningkat daripada 44 peratus kepada 70 peratus bagi tempoh yang sama. Perkhidmatan penjagaan kesihatan juga telah menyebabkan peningkatan tahap kesihatan, pengurangan ketara kadar kematian dan peningkatan jangka hayat penduduk daripada 65.4 tahun pada 1970 kepada 75 tahun pada 2018 (72.7 bagi lelaki dan 77.6 bagi perempuan).

PELANCARAN BUKU 'ANALISIS SITUASI KEPENDUDUKAN DAN KEKELUARGAAN DI MALAYSIA'

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan para hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia tahun ini, LPPKN mengambil peluang melancarkan buku bertajuk; 'Analisis Situasi Kependudukan Dan Kekeluargaan di Malaysia' yang mengandungi penemuan utama Kajian Semula Dasar Kependudukan Negara: Pelan Tindakan ke Arah Pembangunan Lestari 2030 yang telah dilaksanakan pada tahun 2017. Buku ini memfokuskan kepada cabaran utama kependudukan, cabaran institusi keluarga dan cadangan dasar berkaitan kependudukan dan kekeluargaan.
  1. Buku ini turut mencadangkan lima teras strategik iaitu (i) menangani kejatuhan kadar kesuburan dengan bantuan khas kepada mereka yang memerlukan; (ii) memperkukuhkan keluarga; (iii) meningkatkan daya tahan penduduk; (iv) mengarusperdanakan Dasar Warga Emas; dan (v) memastikan inklusiviti untuk semua.

PENEMUAN UTAMA ANALISIS SITUASI KEPENDUDUKAN DAN KEKELUARGAAN DI MALAYSIA

Cabaran Utama Kependudukan

  1. Bilangan penduduk negara dijangka meningkat daripada 32.6 juta orang pada tahun ini kepada 44.5 juta orang menjelang tahun 2050. Meskipun bilangan penduduk semakin bertambah, kadar pertumbuhan tahunan penduduk dijangka akan kekal menurun sehingga mencecah paras 0.7 peratus pada tahun 2050 kesan penurunan kadar kesuburan daripada 4.0 orang anak pada tahun 1980 kepada 1.9 orang anak pada tahun 2016 (DOSM, 2017). Penurunan kadar kesuburan penduduk ini sekali gus mempercepatkan proses penuaan penduduk. Malaysia dijangka menjadi 'negara tua' pada tahun 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.
  1. PBB mengunjurkan kadar kesuburan di Malaysia menurun sehingga 1.7 orang anak untuk dekad-dekad seterusnya (UN 2017, World Population Prospects: The 2017 Revision). Jika kadar kesuburan terus menurun dengan kadar semasa dan tiada intervensi diambil bagi menangani keadaan ini, penduduk Malaysia dijangka mencapai kemuncak 46 juta orang pada tahun 2071 sebelum mengalami penguncupan penduduk (population shrinkage) pada tahun 2072, dan kekurangan sumber tenaga kerja akan menjadi lebih serius pada generasi yang akan datang sehingga mejejaskan pembangunan negara.
  1. Sehubungan itu, adalah penting bagi negara untuk memaksimumkan produktiviti penduduk dalam kumpulan umur bekerja pada hari ini. Kadar penyertaan tenaga buruh negara perlu dipertingkatkan terutamanya dalam kalangan wanita dan mengurangkan ketidaksepadanan (mismatch) kemahiran serta pekerjaan penduduk di negara ini. Selain itu, persepsi mengenai Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pendidikan kelas kedua juga perlu diubah kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan penyertaan tenaga buruh.

Cabaran Institusi Keluarga

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) mendapati semakin ramai pasangan tidak ingin melahirkan anak walaupun masih muda dan hanya mempunyai satu atau dua orang anak sahaja. Antara sebab utama pasangan tidak ingin melahirkan anak adalah kesukaran yang dihadapi oleh wanita bekerja mengimbangi peranan mereka dalam keluarga dan di tempat kerja. Isu seperti kekangan kewangan, perkahwinan lewat, sukar mencari pasangan, harga rumah di luar kemampuan dan subfertiliti adalah antara punca yang mempengaruhi keinginan mereka. Mekanisma yang praktikal antara tuntutan pekerjaan dan keluarga seperti kemudahan penjagaan anak di tempat kerja adalah perlu bagi mengatasi masalah ini.
  1. Sistem sokongan sosial keluarga juga menjadi cabaran utama golongan muda hari ini. Tuntutan pekerjaan golongan muda, sumber kewangan terhad dan saiz keluarga yang semakin mengecil sedikit sebanyak menjejaskan sokongan sosial kepada ibu bapa warga emas. Selain itu, terdapat pasangan yang disebut sebagai ‘Keluarga Komuter’ yang merujuk kepada pasangan berkahwin, tetapi perlu tinggal berjauhan disebabkan faktor tempat kerja. Perkara ini perlu ditangani dengan baik kerana salah seorang terpaksa mengambil tugas tambahan apabila perlu menguruskan keluarga dan menjaga anak bersendirian.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan para hadirin yang dihormati sekalian,

PENUTUP

  1. Seminar pada hari ini tepat pada masanya, kerana hasil penemuan, cadangan dan resolusi dari seminar ini boleh memberi input untuk penggubalan Rancangan Malaysia Ke-12, serta penyediaan negara untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak Nairobi. Sidang kemuncak ini akan menawarkan platform inklusif bagi kerajaan, agensi PBB, masyarakat sivil, sektor swasta, kumpulan wanita dan rangkaian remaja untuk membincangkan serta bersetuju dengan tindakan mempercepatkan pelaksanaan Program Tindakan ICPD, untuk mencapai Lestari PBB Matlamat Pembangunan (SDGs) menjelang 2030.
  1. Sekali lagi tahniah diucapkan kepada LPPKN, UM dan UNFPA serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan seminar pada hari ini. Diharapkan segala pembentangan dan cadangan yang dikemukakan akan dijadikan input yang bermanfaat kepada kita semua.
  1. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar 'Cabaran Utama Kependudukan Di Malaysia' dan melancarkan buku 'Analisis Situasi Kependudukan Dan Kekeluargaan Di Malaysia'.

Sekian, Terima kasih