Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2



Laporan Tinjauan Pendapat Sempena Hari Bapa 2013

Pada 16 Jun 2013, LPPKN telah menganjurkan satu program sambutan Hari Bapa 2013 bertempat di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Semasa  perlaksanaan program tersebut, Bahagian Kependudukan telah menjalankan satu tinjauan pendapat yang bertujuan mengumpulkan  maklumat mengenai hubungan kekeluargaan dari segi komunikasi dan aktiviti di antara bapa dengan anak-anak.

METODOLOGI

Kajian ini dijalankan di Tasik Titiwangsa semasa sambutan Hari Bapa 2013 diadakan. Responden yang disasarkan adalah merupakan seorang bapa.  Kaedah  pensampelan mudah (convenience sampling) telah digunakan bagi memilih mana-mana responden yang berada di sekitar kawasan kajian ketika itu. Kaedah pentadbiran soal selidik adalah secara sendiri. Walau bagaimanapun, bagi kes-kes yang tertentu, kaedah temu bual secara bersemuka telah digunakan. Penyertaan responden adalah secara sukarela. Soal selidik yang digunakan mengandungi tiga (3) bahagian iaitu aktiviti bersama anak, komunikasi bersama anak dan profil responden. Set soal selidik adalah seperti di Lampiran 1

3.0    HASIL TINJAUAN

  • 3.1    Profil  responden
    • Secara keseluruhannya, seramai 149 orang responden telah berjaya diliputi. Hasil analisa menunjukkan lebih satu per tiga (34.2%) responden  berumur di antara 30 hingga 39 tahun. Majoriti  responden berstatus masih berkahwin (97.3%). Dari segi etnik, majoriti responden adalah  Melayu (87.9%) diikuti oleh Cina (8.7%),  India (2.0%) dan selebihnya  adalah  etnik-etnik lain. Sejumlah 41.6 peratus responden bekerja di sektor kerajaan,  30.9 peratus bekerja di sektor swasta dan 17.4 peratus  bekerja sendiri. Purata anak yang dimiliki oleh seorang responden di dalam kajian ini adalah seramai 3 orang. Didapati  hampir separuh (42.3%) daripada mereka mempunyai anak seramai  3 hingga 4 orang (Jadual 1, Lampiran 2).
    • Bagi responden yang mempunyai anak, sebanyak 35.4 peratus mempunyai anak yang berumur di antara 1-4 tahun, 34.7 peratus mempunyai  anak berumur  5-9 tahun dan sebanyak 32.0 peratus mempunyai anak berumur 15-19 tahun (Jadual 2, Lampiran 2). 
  • 3.2 Aktiviti bapa bersama anak-anak

    • Responden telah disoal tentang purata masa yang diluangkan oleh mereka bersama anak-anak dalam tempoh seminggu. Didapati bahawa julat purata masa yang diluangkan adalah terlalu besar iaitu dari 1 jam hingga lebih daripada 51 jam seminggu. Untuk memudahkan analisis, purata masa tersebut telah dibentuk kepada enam (6) kategori iaitu 1-10 jam seminggu, 11-20 jam seminggu, 21-30 jam seminggu, 31-40 jam seminggu, 41-50 jam seminggu dan 51 jam dan ke atas seminggu. Didapati kebanyakan responden meluangkan masa antara 1 hingga 10 jam seminggu bersama anak-anak iaitu sebanyak 36.3 peratus. Dapatan juga menunjukkan hampir satu per lima  daripada responden pula meluangkan masa sebanyak 51 jam dan ke atas seminggu bersama anak-anak (19.9%) dan diikuti 11 hingga 20 jam seminggu dengan 19.2 peratus (Jadual 3, Lampiran 2).

    • Kajian juga mendapati hampir 50 peratus daripada responden berpendapat bahawa masa yang mereka luangkan bersama anak-anak adalah mencukupi iaitu 47.7 peratus manakala 38.9 peratus pula mengatakan masa yang mereka luangkan bersama anak-anak adalah tidak mencukupi dan hanya 13.4 peratus yang mengatakan lebih daripada cukup (Carta 1, Lampiran 2).

    • Makan bersama merupakan aktiviti yang paling kerap dilakukan oleh responden bersama anak-anak dengan kekerapan beberapa kali seminggu iaitu 88.0 peratus dan diikuti oleh aktiviti beribadat (74.6%) dan bermain permainan komputer (55.6%). Taburan kekerapan aktiviti bersama anak-anak adalah seperti di Jadual 4, Lampiran 2.

  • 3.3 Komunikasi bapa bersama anak-anak

    • Komunikasi di antara bapa dan anak-anak boleh dibentuk melalui pelbagai cara. Tinjauan ini mendapati bahawa sebanyak 91.1 peratus responden berkomunikasi dengan anak-anak melalui perbualan. Manakala sebanyak 66.2 peratus responden memeluk/mencium anak-anak dan 63.3 peratus responden memberi penghargaan/memuji kepada anak-anak. Majoriti (39.6%) responden tidak pernah merotan atau memukul anak-anak. Perlakuan menjerit atau memarahi pula adalah perkara yang kadang-kadang dilakukan terhadap  anak-anak mereka seperti ditunjukkan dalam Jadual 5, Lampiran 2.

    • Majoriti responden berpendapat bahawa nilai bertanggungjawab (93.9%), berbuat baik dan bertimbang rasa (92.6%), keagamaaan (89.8%), menjaga pergaulan (87.1%), mematuhi peraturan keluarga (82.4%), berdikari (81.6%), dan mendapat keputusan peperiksaan cemerlang (78.9%) adalah penting bagi anak-anak mereka (Jadual 6, Lampiran 2).

    • Dalam menentukan persepsi sama ada responden menjalankan peranan  sebagai seorang bapa yang baik, lebih dua pertiga (69.4%) daripada responden berpendapat bahawa mereka telah melaksanakan peranan  sebagai seorang bapa dengan baik, manakala 27.2 peratus telah berperanan   sebagai bapa dengan cemerlang dan hanya segelintir sahaja iaitu (3.4%) berpendapat bahawa  mereka kurang baik dalam melaksanakan peranan  sebagai seorang bapa  (Carta 2, Lampiran 2).

    • Responden turut ditanya tentang perasaan dihargai oleh anak-anak kepada mereka. Didapati bahawa hampir semua responden (97.2%) pernah rasa dihargai oleh anak-anak. Penghargaan tersebut dizahirkan dalam bentuk  pemberian hadiah,  sambutan hari lahir dan ucapan terima kasih.
  • 4.0 RUMUSAN KAJIAN

Secara keseluruhannya, hasil tinjauan ini dapat dirumuskan seperti berikut:

    1. Jumlah masa yang diluangkan bersama anak-anak oleh kebanyakan responden adalah antara 1 hingga 10 jam seminggu dan kajian juga mendapati kebanyakan responden berpendapat bahawa masa yang mereka luangkan bersama anak-anak adalah mencukupi. Selain itu, makan bersama merupakan aktiviti yang paling kerap dilakukan oleh  kebanyakan responden bersama anak-anak.

    2. Majoriti responden berkomunikasi dengan anak-anak melalui perbualan selain memeluk/mencium anak-anak dan memuji/memberi penghargaan kepada anak-anak. Nilai bertanggungjawab merupakan nilai yang dirasakan penting oleh kebanyakan responden untuk anak-anak mereka. Selain itu, majoriti responden berpendapat bahawa mereka telah melaksanakan peranan  sebagai seorang bapa dengan baik dan pernah rasa dihargai oleh anak-anak.

    3. Hasil daripada tinjauan pendapat ini akan digunakan sebagai panduan dan data sokongan bagi LPPKN untuk melaksanakan sebarang kajian yang berkaitan isu keibubapaan pada masa akan datang. Selain itu, maklumat daripada tinjauan ini boleh membantu agensi yang berkaitan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN dalam merancang program yang bersesuaian bagi meningkatkan keeratan kekeluargaan.

Nota : Sila klik pautan berwarna biru untuk rujukan carta, jadual & lampiran pada Laporan Tinjauan Pendapat Sempena Sambutan Hari Bapa 2013 bertempat di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sumber Kajian : Bahagian Kependudukan, LPPKN.