Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :
BULAN KELUARGA KEBANGSAAN 1 MALAYSIA


Gerakan 1Malaysia Family First (1MFF)

1. Apakah Gerakan 1Malaysia Family First (1MFF)?

Gerakan 1Malaysia Family First merupakan salah satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri. Gerakan ini akan menggembleng sumber-sumber daripada semua agensi kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan dalam penyampaian perkhidmatan kekeluargaan.

Gerakan 1MFF merupakan agenda negara untuk meningkatkan komitmen dan mengajak semua lapisan masyarakat supaya kembali memberi keutamaan terhadap institusi keluarga dalam segala usaha, perancangan dan tindakan. Elemen 1Malaysia Utamakan Keluarga (1MFF) diharap akan mencetuskan ikatan kasih sayang yang berpanjangan dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat. 

2. Apakah objektif Gerakan 1 Malaysia Utamakan Keluarga (1MFF)?

Secara umumnya matlamat 1MFF ialah untuk membina keluarga yang sejahtera,sihat dan resilien dan berperibadi mulia sebagai asas kestabilan sosial.

3. Bilakah Gerakan 1 Malaysia Utamakan Keluarga dilancarkan?

Gerakan 1MFF telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Bapa pada 17 Jun 2012 di Taiping , Perak.


4. Bagaimanakah Gerakan 1 Malaysia Utamakan Keluarga dilaksanakan?

Inisiatif yang diperkenalkan di bawah Gerakan 1MFF akan dilaksanakan berasaskan kepada 3 teras yang digariskan di dalam Dasar Keluarga Negara iaitu

  1. meningkatkan komitmen dan tanggungjawab sosial semua pihak dalam melaksanakan dasar dan program mesra keluarga,
  2. mengkaji dan memastikan undang-undang, dasar dan peraturan sedia ada mengutamakan perspektif keluarga dan
  3. mengadakan perkhidmatan dan kemudahan keluarga yang mudah diakses dan dicapai oleh keluarga.

Inisiatif Gerakan 1 Malaysia Utamakan Keluarga ini akan dilaksanakan menggunakan pendekatan 3 P (Public, Private and People) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

5. Apakah Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia?

Merupakan salah satu aktiviti promosi di bawah Strategi Lautan Biru yang mengiktiraf bulan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia selaras dengan Dasar Keluarga Negara. “Kesejahteraan keluarga” yang menyeluruh diutamakan menerusi penerapan nilai kekeluargaan.  Pelbagai aktiviti kekeluargaan boleh dilaksanakan oleh agensi kerajaan, swasta dan NGO seperti Karnival Keluarga, Pasar Tani Keluarga dan Galakan Percutian Keluarga.

6. Bagaimana syarikat boleh mendapatkan rebat bagi menganjurkan Hari Keluarga masing-masing.

Bagi mendapatkan rebat atau 100 peratus potongan pada sambutan Hari Keluarga masing-masing, syarikat perlu merujuk kepada “Ketetapan Umum No.3/28 Perbelanjaan Keraian bertarikh 22 Oktober 2008 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)”.  

Ketetapan Umum ini seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 138A Akta Cukai Pendapatan 1967 yang dikeluarkan bertujuan untuk memberi panduan kepada orang awam dan pegawai LHDN.  

Pertanyaan boleh dibuat ke Jabatan Dasar Percukaian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (telefon : 03-83138888)