Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


SIARAN MEDIA SEMPENA HARI PENDUDUK SEDUNIA

 

SIARAN MEDIA SEMPENA HARI PENDUDUK SEDUNIA

 

PERANCANGAN KELUARGA: MEMPERKASA RAKYAT, MEMBANGUNKAN NEGARA (FAMILY PLANNING: EMPOWERING PEOPLE, DEVELOPING NATIONS)

 

Family Planning: Empowering People, Developing Nations" atau "Perancangan Keluarga: Memperkasa Rakyat, Membangunkan Negara" telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai 2017.  Sambutan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1989. 

Perancangan keluarga adalah penting kepada kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita dan merupakan antara faktor mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga. Akses kepada kesihatan reproduktif, termasuk perancangan keluarga, adalah sasaran utama agenda baru untuk Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) bagi tempoh 2015-2030.

YB Dato’ Sri Rohani berkata “Penemuan daripada siri Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan kadar penggunaan kontraseptif dalam kalangan wanita berkahwin berumur 15-49 tahun telah meningkat daripada 36 peratus pada tahun 1974 kepada 52 peratus pada tahun 1984 dan terus kekal pada tahap tersebut pada tahun 2014 apabila kerajaan menukarkan teras program daripada perancang keluarga kepada pembangunan keluarga”. Tambah beliau lagi, “Lebih kurang satu per lima wanita yang ingin mengelakkan kehamilan didapati mempunyai permintaan kontraseptif tidak dipenuhi (unmet needs) untuk perancang keluarga.  Tahap penggunaan kaedah kontraseptif di Malaysia adalah lebih rendah daripada kadar yang dicatatkan di seluruh dunia iaitu 64 peratus.”

Malaysia komited dalam usaha ke arah pembangunan mapan demi kesejahteraan penduduk yang bertepatan dengan pelan pembangunan  Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari di peringkat antarabangsa. Membuat pelaburan dalam perancangan keluarga merupakan satu langkah intervensi kesihatan paling kos efektif dalam memastikan tahap kesihatan ibu dan anak berada pada tahap terbaik.

Bersempena dengan sambutan Hari Penduduk Sedunia 2017, program kemasyarakatan bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti setempat telah direncanakan oleh KPWKM melalui LPPKN dengan kerjasama secara NBOS di antara agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, swasta, badan bukan kerajaan, universiti, persatuan penduduk dan keluarga. Program yang dinamakan EKOFAMILI 2017 dilaksanakan kerana berasaskan penemuan kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK 2016), domain Perumahan dan Persekitaran mencatatkan skor terendah iaitu 6.24 daripada skala maksimum 10 berbanding 8 domain lain yang terdapat kajian IKK 2016 iaitu domain Keluarga, Peranan Agama dan Kerohanian (8.04), Keselamatan Keluarga (7.96), Hubungan Kekeluargaan (7.90), Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (7.84), Kesihatan Keluarga (7.18), Ekonomi Keluarga (7.05) dan Keluarga dan Teknologi Komunikasi (6.38).

Program Ekofamili 2017 yang bertujuan memupuk amalan dan nilai-nilai positif dalam menjaga alam sekitar dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti akan dilaksanakan sepanjang bulan Julai 2017 di 14 buah komuniti terpilih dalam program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) di seluruh Malaysia bermula di Beaufort, Sabah pada 14 Julai yang akan dirasmikan oleh YB Datuk  Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

019-2333 415 (Rosmonaliza Abdul Ghani)