Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


Sejarah KPKM

bunting4-kecikSEJARAH KPKM

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) merupakan kajian bersiri yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) setiap sepuluh tahun sejak tahun 1974. Siri pertama kajian ini ialah Penyiasatan Kesuburan dan Keluarga Malaysia yang telah dijalankan pada tahun 1974. Kajian ini merupakan kerjasama di antara Jabatan Perangkaan Malaysia dan LPPKN. Kumpulan sasaran kajian ini adalah wanita pernah berkahwin yang berumur 50 tahun ke bawah. Tujuan kajian adalah untuk mengumpulkan maklumat berkenaan demografi , kesihatan dan isu-isu berkaitan keadaan ekonomi wanita. Hasil kajian ini telah digunakan oleh ramai penyelidik tempatan dalam penerbitan artikel, laporan dan tesis. Antara maklumat penting yang terkandung dalam kajian ini adalah mengenai perkahwinan, pembentukan keluarga, perancangan keluarga, penjagaan anak, pendidikan, migrasi, tenaga buruh dan pendapatan. Seterusnya pada tahun 1984, kajian untuk siri yang kedua iaitu Penyiasatan Penduduk dan Keluarga Malaysia telah dijalankan.

Dalam siri kali ini, responden kajian tidak hanya tertumpu kepada wanita pernah berkahwin sahaja tetapi disasarkan juga kepada kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke atas dan warga berumur 50 tahun ke atas. Siri ketiga kajian yang dinamakan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia pula telah dijalankan pada tahun 1994. Kajian ini merupakan kesinambungan kepada kedua-dua kajian sebelumnya, yang mana tujuannya untuk memberikan data siri masa bagi melihat perubahan-perubahan yang dialami oleh penduduk di Malaysia.

Pada tahun 2004, LPPKN telah melaksanakan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke Empat (KPKM-4). Keunikan KPKM-4 berbanding KPKM terdahulu ialah kajian ini buat pertama kalinya dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia. Selain itu, kumpulan sasaran dalam kajian ini telah diperluaskan, di mana kategori responden terdiri daripada wanita pernah berkahwin berumur 15 hingga 49 tahun, suami kepada wanita pernah kahwin, remaja berumur 13 hingga 24 tahun, warga berumur 50 tahun dan lebih, dan penduduk bujang berumur 25 hingga 49 tahun. Pemilihan tempat kediaman untuk mendapatkan responden telah dibantu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Rekabentuk pensampelan yang digunakan dalam kajian ini adalah Pensampelan Berstrata Dua Peringkat, dan rangka pensampelanyang digunakan adalah berdasarkan maklumat daripada Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, 2000. Kajian yang bersifat ‘national representative’ ini telah dibiayai oleh peruntukan pembangunan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Malaysia. Kajian ini merupakan asas utama bagi pengutipan data yang bertujuan untuk menyediakan satu set maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai kependudukan, kekeluargaan dan reproduksi manusia.

Objektif & Bidang Liputan

bunting4-kecik

OBJEKTIF KPKM

Objektif utama KPKM adalah untuk menyediakan data siri masa berkaitan maklumat demografi dan sosioekonomi, khususnya pertalian di antara kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif, serta hubungkaitnya dengan pembangunan. Kajian ini juga bertujuan untuk mengemaskini indikator-indikator bagi tujuan menilai kecekapan dan keberkesanan dasar, program dan aktiviti berkaitan kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk menyediakan maklumat yang dapat dijadikan input dalam penyediaan Rancangan Malaysia (RMK).

BIDANG LIPUTAN

KPKM-5 merupakan kajian yang unik memandangkan ianya direkabentuk untuk mengumpul dan menganalisis maklumat antara generasi. Mengambil kira kepentingan dan keperluan para perancang dasar dan pengurus program tentang jenis data dan maklumat yang diperlukan untuk kegunaan perancangan akan datang, soalan selidik yang seragam telah direkabentuk untuk memastikan data yang dikumpulkan mematuhi ekspetasi ini. Sebanyak enam jenis soalan selidik telah dibangunkan dengan mengambilkira bidang-bidang liputan yang telah dipersetujui. Bidang-bidang liputan tersebut adalah seperti berikut:

  • Penduduk
  • Tempat kediaman dan isi rumah
  • Pembentukan keluarga
  • Keluarga
  • Perancangan keluarga;
  • Kehidupan berkeluarga
  • Amalan kesihatan
  • Warga emas
  • Sosial dan seksual remaja

Responden, Sample & Kawasan Liputan

bunting4-kecik

JENIS RESPONDEN

Dalam kajian ini, sebanyak lima jenis responden daripada setiap tempat kediaman terpilih telah dikenalpasti untuk memberikan maklumat mengikut bidang liputan yang dimuatkan dalam soalan selidik. Maklumat terperinci mengenai responden terpilih dikumpulkan dengan menggunakan buku soalan selidik berikut:

  • Wanita pernah berkahwin berumur 15 hingga 59 tahun;
  • Lelaki pernah berkahwin berumur 15 hingga 59 tahun;
  • Remaja belum pernah berkahwin  berumur 13 hingga 24 tahun;
  • Warga berumur 60 tahun dan ke atas; dan
  • Penduduk bujang berumur 25 hingga 49 tahun.

SAMPEL DAN KAWASAN LIPUTAN

KPKM-5 telah menggunakan kaedah reka bentuk pensampelan berstrata dua peringkat. Strata utama adalah terdiri daripada kesemua negeri yang terdapat di Malaysia, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan. Strata kedua pula adalah pemecahan kawasan di antara bandar (metropolitan + bandar besar) dan luar bandar (bandar kecil + keseluruhan luar bandar).

Jabatan Perangkaan Malaysia telah memberikan khidmat nasihat dan kerjasama baik kepada LPPKN dalam mendapatkan saiz sampel yang mampu menggambarkan keseluruhan populasi yang dikaji atau penduduk. Secara keseluruhannya, di peringkat pertama pemilihan, sebanyak 2,889 blok perhitungan  (BP) telah dipilih. Taburan BP mengikut kawasan adalah seperti berikut :

Di peringkat kedua pemilihan, sebanyak 23,112 tempat kediaman (TK) telah dipilih. Taburan TK mengikut kawasan adalah seperti berikut :

Semenanjung Malaysia : 19,472
Sabah : 1,688
Sarawak : 1,952

Faedah KPKM & Kerjasama

bunting4-kecik

FAEDAH KPKM-5

Penyelidikan dan kajian adalah penting bagi membekalkan maklumat dan data berkaitan kependudukan yang terkini agar proses perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia merupakan salah satu daripada kajian yang dilaksanakan oleh LPPKN setiap sepuluh tahun sekali sejak tahun 1974. Kajian ini merupakan asas utama pengutipan data bagi menyediakan satu set maklumat berstatistik yang komprehensif berkaitan dengan kependudukan, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif. Sehingga kini data dan maklumat KMPKM telah dijadikan input dalam beberapa perancangan dasar pembangunan negara seperti Dasar 70 Juta Penduduk, penggubalan pelan induk tindakan sosial atau PINTAS, Dasar Sosial Negara, Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan, Dasar Keluarga Negara dan Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif Dan Sosial.

Hasil daripada kajian ini turut digunakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk perancangan rancangan Malaysia, di mana ia merupakan perancangan pembangunan setiap lima tahun negara. KPKM turut menyumbang kepada beberapa pelaksanaan inisiatif di peringkat nasional seperti insentif cukai daripada tiga kepada lima orang anak, cuti bersalin 60 hari dan saranan penubuhan pusat penjagaan anak di tempat kerja. Perlaksaan KPKM secara langsung memperkukuhkan LPPKN sebagai pusat sumber yang menyediakan informasi dan rujukan bagi seluruh agensi kerajaan, sama ada di peringkat pusat, negeri atau kerajaan tempatan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, para penyelidik, pelajar dan juga kepada masyarakat agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dalam usaha membangunkan modal insan serta keluarga dan penduduk yang berkualiti bagi mengharungi alaf baru yang penuh cabaran

KERJASAMA


Bagi merealisasikan matlamat dan objektif KPKM-5, pihak LPPKN telah mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak. Antara kerjasama yang telah diperolehi adalah daripada:

  1. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri
  2. Jabatan Perangkaan Malaysia
  3. Jabatan Kebajikan Masyarakat
  4. Jabatan Pembangunan Wanita
  5. Kementerian Kesihatan Malaysia
  6. Kementerian Pelajaran Malaysia
  7. Kerajaan-kerajaan negeri
  8. Universiti of Washington, Amerika Syarikat
  9. Universiti Malaya
  10. Institut Gerentologi, Universiti Putra Malaysia
  11. Universiti Teknologi MARA

FAQ

bunting4-kecik

FAQ

Mengapa perlu KPKM-5?
KPKM-5 menyediakan data siri masa berkaitan maklumat demografi dan sosioekonomi, khususnya pertalian di antara kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif, serta hubungkaitnya dengan pembangunan. Kajian ini juga bertujuan untuk mengemaskini indikator-indikator bagi tujuan menilai kecekapan dan keberkesanan dasar, program dan aktiviti berkaitan kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif.

Bilakah KPKM-5 akan dilaksanakan?
KPKM-5 akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula 1 September 2014 hingga 30 November 2014. Kajian ini melibatkan isi rumah terpilih  yang meliputi seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Siapakah yang akan ditemubual?
Temubual akan dijalankan ke atas isirumah yang dipilih secara rawak berdasarkan rangka sampel Banci Penduduk dan Perumahan yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Terdapat lima kategori penduduk yang layak ditemubual seperti berikut:

  • Wanita pernah berkahwin berumur antara 15 hingga 59 tahun.
  • Lelaki pernah berkahwin berumur 15 hingga 59 tahun.
  • Remaja berumur 13 hingga 24 tahun dan belum pernah berkahwin.
  • Warga emas berumur 60 tahun dan lebih.
  • Bujang berumur 25 hingga 49 tahun.
Bagaimanakah KPKM-5 dilaksanakan?
KPKM akan dijalankan menggunakan kaedah temubual bersemuka. Sekiranya rumah anda terpilih, penemubual kami akan mengunjungi rumah anda dan membawa bersama kad pengenalan rasmi dan surat kebenaran pihak berkuasa untuk tujuan pengenalpastian. Jika ada soalan-soalan yang musykil atau memerlukan penjelasan yang lebih mendalam, anda boleh bertanya kepada penemubual yang dilantik.

Adakah maklumat yang saya beri selamat?

Maklumat yang anda berikan akan dirahsiakan dan dijamin sulit. Semua maklumat akan hanya digunakan untuk kajian ini.

Bagaimanakah saya boleh menghubungi LPPKN untuk sebarang pertanyaan?
Sila hubungi kami untuk sebarang pertanyaan :
Sekretariat
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima
Bangunan LPPKN,
No 12B, Jalan Raja Laut,
Peti Surat 10416,
50712, Kuala Lumpur

Tel : 03 2693 7555 samb 1600
Faks : 03 2693 7787
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Poster KPKM-5

Poster KPKM-5-kecik

Kejayaan KPKM-5

Kejayaan KPKM