Bahasa :

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2

A- A A+
Saiz Font :
Header Laman Web LPPKN

faq2 | hubungi2 | maklumbalas2 | peta2



Deklarasi Keluarga Malaysia

poster 1

poster 2 atucara

poster 3

 

 

PERNYATAAN DEKLARASI KELUARGA MALAYSIA (DKM)

 

Kerajaan telah meluluskan Dasar Keluarga Negara (DKN) pada 17 Disember 2010 yang menekankan kepentingan mengarusperdana perspektif keluarga dalam segala usaha perancangan dan pembangunan negara bagi melahirkan generasi berkualiti. DKN  memperjuangkan konsep Kesejahteraan Keluarga yang berteraskan nilai keluarga seperti kasih sayang, jujur, adil dan saksama tanpa mengira status, jantina dan umur. Peribadi mulia ini amat penting bagi memastikan pembangunan sosial seimbang dengan pembangunan material dan ekonomi. Pendekatan ini penting bagi menjamin perlindungan, keselamatan dan kesaksamaan gender dalam institusi keluarga tidak dipinggirkan di dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini. Seterusnya, setiap ahli keluarga dapat menikmati kehidupan yang sihat, selamat dan harmoni, termasuk mempunyai hak perkongsian sumber yang saksama. 

Dasar Keluarga Negara menekankan lapan (8) prinsip utama yang menjaga kepentingan dan keperluan keluarga.  Turut digariskan  tiga (3) teras strategi  di bawah pelan tindakan dasar ini yang meliputi aspek dasar, program dan komitmen pelbagai pihak untuk untuk mengarus perdanakan keluarga seperti berikut:-

  • Teras Strategi 1:

Meningkatkan komitmen dan penglibatan pelbagai pihak untuk mengutamakan perspektif keluarga dalam segala usaha pembangunan sosioekonomi;

  • Teras Strategi 2:

Memastikan undang-undang, dasar, prosedur serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan mengutamakan perspektif keluarga; dan

  • Teras Strategi 3:

Menyedia dan memastikan program, perkhidmatan dan kemudahan mesra keluarga mudah diakses atau dicapai

Deklarasi ini bukan sesuatu yang baru, di peringkat antarabangsa World Family Declaration telah dilancarkan oleh World Congress of  Families pada tahun 2014. Deklarasi ini merupakan universal banner  yang menyatukan semua pihak dalam usaha semua pihak melindungi insitusi keluarga. Oleh itu, cadangan untuk mengadakan Deklarasi Keluarga Malaysia merupakan salah satu usaha Kerajaan menyokong DKN  dan penyataan komitmen semua pihak dalam memastikan kesejahteraan keluarga, kerana kesejahteraan keluarga merupakan asas yang akan membawa kepada kesejahteraan negara.

Dekarasi Keluarga Malaysia akan menjadi satu gerakan nasional bagi meletakkan agenda keluarga sebagai keutamaan dalam perpaduan nasional.  Satu majlis pelancaran Deklarasi Keluarga Malaysia akan diadakan pada 15 September 2019 untuk meningkatkan komitmen dan mengajak semua lapisan masyarakat supaya kembali memberi keutamaan terhadap institusi keluarga dalam segala usaha, perancangan dan tindakan. Tarikh 15 September 2019 dicadangkan bersempena Pembentukan Hari Persekutuan Malaysia 1963 yang diraikan pada 16 September setiap tahun. 

Elemen perpaduan menerusi nilai kekeluargaan dalam kejiranan akan mencetuskan ikatan kasih sayang yang berpanjangan di dalam masyarakat dan negara. Perpaduan yang berasaskan kepada prinsip hidup bersama (coexistance) akan menjamin kesejahteraan negara di mana ia akan  menjadi asas kepada kejayaan Malaysia Baharu.

Institusi keluarga memainkan peranan penting bagi memastikan kesinambungan sistem nilai dan akhlak daripada satu generasi kepada generasi berikutnya dan akhirnya akan membentuk sebuah negara bangsa.  Sistem nilai dan akhlak ini perlu dibentuk dan diterjemahkan dalam bentuk kesepakatan dan perpaduan antara masyarakat.

Menggariskan komitmen keluarga Malaysia untuk membina sebuah Negara Malaysia Baharu yang bersatu padu, bersih, hidup dalam kerukunan dan mengamalkan nilai-nilai peribadi mulia melalui pembentukan keluarga yang sejahtera, sihat dan berdaya tahan.

Pernyataan Deklarasi Keluarga Malaysia

Satu pernyataan deklarasi telah di rangka bagi menyatakan komitmen bersama membentuk keluarga sejahtera, seperti berikut;

  1. Memartabatkan institusi keluarga yang terdiri daripada kepelbagaian generasi sebagai asas pembentukan negara yang sejahtera.
  2. Memperkukuh peranan keluarga dalam pembentukan nilai murni sebagai asas perpaduan masyarakat.
  3. Memperkasa penglibatan masyarakat dalam pengukuhan sistem sokongan keluarga sejahtera.
  4. Menekankan kepentingan melindungi hak dan keselamatan keluarga dalam segenap lapisan masyarakat.
  5. Mendukung segala inisiatif dan mengembleng segala sumber untuk meningkatkan pengukuhan institusi perkahwinan dan keluarga.
  6. Menyokong usaha memanfaatkan penggunaan teknologi secara bijaksana bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan keluarga.

Deklarasi Keluarga ini perlu diterjemahkan dalam bentuk program dan aktiviti supaya keluarga di Malaysia dapat terus menerus membangun secara mampan seiring dengan konsep kemakmuran  bersama masa kini.  Oleh itu kerjasama pelbagai pihak adalah penting dan perlu untuk menekankan kepentingan keluarga dalam perancangan dan pelaksanaan program dan aktiviti masing-masing sebagai satu bentuk sokongan terhadap Deklarasi Keluarga Malaysia. Beberapa program susulan yang boleh dilaksanakan atau diperluaskan oleh pelbagai pihak, yang memberi manfaat kepada keluarga secara langsung atau tidak langsung adalah :-

  1. Mempromosi nilai dan budaya keluarga Malaysia dalam kalangan generasi muda;
  2. Mempromosi gaya hidup Keluarga Malaysia iaitu dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga;
  3. Mewujudkan insentif kepada keluarga yang menerima anak dalam institusi untuk dibesarkan dalam keluarga dan komuniti setempat atau ringkasnya Family Based Care;
  4. Mewujudkan Pusat Keluarga Setempat yang menyediakan khidmat sokongan keluarga bersepadu;
  5. Menganjurkan projek penjanaan pendapatan di komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara umpamanya Family Fair dan;
  6. Mempromosi etika keluarga bijak siber agar masyarakat memanfaatkan teknologi komunikasi secara bijak dan selamat.

Program susulan ini boleh merupakan aktiviti sedia ada dan diperluaskan dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta dan juga komuniti bagi menzahirkan dan meyokong Deklarasi Keluarga Malaysia. 

Dengan komitmen semua pihak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan dilaksanakan secara komprehensif dan berterusan, Deklarasi Keluarga Malaysia ini diharapkan dan dijangka memberi impak seperti berikut:-

  1. Peningkatan keutamaan kepada inisiatif, peraturan dan dasar yang mengutamakan kesejahteraan keluarga dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.
  2. Peningkatan penglibatan semua pihak dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa komuniti dengan semangat kekeluargaan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga;
  3. Peluasan pendekatan Family Based Care di dalam komuniti bagi membantu ahli keluarga dibesarkan di dalam insitusi keluarga;
  4. Pemberian bantuan kebajikan keluarga setempat yang lebih berfokus atau bersasar kepada mereka memerlukan;
  5. Peningkatan pelbagai usaha berbentuk penjanaan pendapatan tambahan keluarga melalui aktiviti ekonomi untuk keluarga dan;
  6. Peningkatan peluasan hub khidmat sokongan setempat yang melibatkan kolaborasi strategik pelbagai agensi Kerajaan dan NGOs untuk memberikan khidmat sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukan.

 

Sebarang pertanyaan boleh hubungi nombor dibawah:

ENCIK AZLAN SHAH NAZRUDIN
Pemangku Pengarah
Bahagian Kesejahteraan Keluarga
Ext : 1210 ; Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

ENCIK FAUWAZ HASBULLAH
Ketua Penolong Pengarah
Unit Pengurusan Program dan Keluarga
Bahagian Kesejahteraan Keluarga
Ext : 1205 ; Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.