Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :
BULAN KELUARGA KEBANGSAAN 1 MALAYSIA


DASAR DAN PELAN TINDAKAN PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL KEBANGSAAN

PERNYATAAN DASAR

Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan merupakan dasar mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang terpakai kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

Pada awalnya, dasar ini dikenali dengan nama singkatan sebagai Dasar PKRS. Namun, pada tahun 2012, Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan dikenali sebagai Dasar PEKERTI.

Pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial merupakan asas kukuh kepada perkembangan serta pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling hormat-menghormati. Pelaksanaan dasar ini turut mengambil kira kepelbagaian agama, budaya serta nilai hidup masyarakat di Malaysia.

Susulan dari kelulusan Parlimen tentang Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reprodutif dan Sosial (PEKERTI) pada tahun 2009, pihak LPPKN melalui KPWKM telah melaksanakan Program PEKERTI di Pusat Remaja kafe@TEEN, PLKN dan sekolah.

RASIONAL

  • Pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial ialah satu proses pembelajaran sepanjang hayat untuk memperoleh pengetahuan yang menyeluruh dalam aspek biologikal, sosiobudaya, psikologikal dan kerohanian ke arah amalan tingkah laku yang sihat dalam kehidupan.
  • Pendidikan dan pengetahuan ini membantu pembentukan individu yang bertanggungjawab dan seterusnya mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada gejala sosial yang semakin meningkat.

OBJEKTIF

Objektif Perlaksanaan Dasar Pendidikan Reproduktif dan Sosial untuk;

  • meningkatkan kesedaran anggota masyarakat mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial
  • membangunkan kepakaran pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan anggota masyarakat
  • meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menambah baik sistem pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial
  • meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pendidikan kesihatan dan sosial.

STRATEGI PELAKSANAAN

Bagi mencapai objektif-objektif di atas, strategi-strategi telah dirangka berasaskan 4 aspek utama iaitu advokasi, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan serta pemantauan dan penilaian. Strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut:

Advokasi

  • Mengurangkan sensitiviti dan salah tanggapan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial melalui penyediaan program sokongan khusus kepada ibu bapa, ahli keluarga, penjaga, guru, anggota kesihatan, pengasuh dan masyarakat
  • Mewujud dan meningkatkan kerjasama multi sektor dalam bidang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial

Pembangunan Modal Insan

  • Membangunkan modal insan yang terlatih dalam bidang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial

Penyelidikan dan Pembangunan

  • Melaksana dan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial;
  • Meningkatkan kobolehaksesan kepada semua sumber yang berkaitan dalam bidang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial; dan

Pemantauan dan Penilaian    

  • Mewujudkan mekanisme penyelarasan, pemantauan dan penilaian bagi pelaksanaan program pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

Kumpulan Sasar Bagi Program PEKERTI

  • Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
  • Pelajar sekolah (SMK, SK dan Sekolah Pendidikan Khas).
  • Pelajar Institut Pengajian Tinggi dan Kolej.
  • Ibu bapa dan orang awam di mana ia diserapkan di dalam Program Pembangunan Keluarga dan Pusat Keluarga (AIRIS).

Pelaksanaan Program Pekerti

Pusat Remaja kafe@TEEN
 
  • Program bermula tahun 2005 sehingga kini
  • Menggunakan modul dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Federal of Reproductive Health Associations Malaysia (FRHAM) dan Women’s Centre for Change (WCC).

Kumpulan sasar adalah remaja berumur 13-24 tahun.

PEKERTI @ PLKN

  • Program bermula tahun 2011 sehingga kini.
  • Menggunakan Modul PEKERTI@PLKN (dahulu dikenali sebagai Modul Kesejahteraan Hidup).
  • Modul dijalankan selama 8 jam.
  • Kumpulan sasar adalah pelatih PLKN.

PEKERTI @ Sekolah

  • Menggunakan Modul Reproductive Health for Adolescent oleh FRHAM untuk darjah 6  dan Modul Cakna Diri oleh LPPKN untuk tingkatan 3.
  • Modul PEKERTI@Sekolah dijalankan selama 8jam.
  • Kumpulan sasar adalah pelajar sekolah (SMK, SK dan Sekolah Pendidikan Khas).