Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :

HM-BM-berita



INDEKS KESEJAHTERAAN KELUARGA MALAYSIA BERADA DI TAHAP SEDERHANA

 

 

WhatsApp Image 2017 03 01 at 10.49.51

 

CYBERJAYA, 28 Februari. Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) 2016 berada di tahap sederhana iaitu nilai skor yang dicatatkan adalah 7.33 daripada skala maksimum 10. Daripada lapan (8) domain yang terdapat di dalam IKK 2016, domain Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian mencatatkan skor domain tertinggi iaitu 8.04 yang dikategorikan dalam tahap tinggi. Ini diikuti oleh domain Keselamatan Keluarga (7.96), domain Hubungan Kekeluargaan (7.90), domain Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (7.84), domain Kesihatan Keluarga (7.18), domain Ekonomi Keluarga (7.05), domain Keluarga dan Teknologi Komunikasi (6.38), dan domain Perumahan dan Persekitaran (6.24). Kesemua nilai skor domain tersebut berada pada tahap sederhana kecuali domain Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian yang berada pada tahap yang agak baik.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, penghasilan indeks kesejahteraan keluarga setiap tiga hingga lima tahun perlu dilaksanakan supaya ianya dapat dijadikan panduan dan input penting kepada para penggubal dasar, perancang dan pengurus program untuk menilai sejauh mana tahap kesejahteraan hidup keluarga di Malaysia dan membantu mereka untuk membentuk strategi yang lebih efektif dan program yang tepat kepada sasarannya. Ini merupakan satu langkah proaktif yang boleh dilaksanakan oleh LPPKN untuk memantau tahap kesejahteraan keluarga Malaysia secara berterusan.

Katanya lagi, Kementerian terus komited dan prihatin terhadap Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) yang berada di tahap sederhana. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 yang diadakan di Malaysian Global Innovation And Creativity Centre (MAGIC), hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah wakil-wakil agensi pembuat dasar, ahli-ahli akademik dan wakil badan bukan kerajaan serta rakan media, merupakan satu manifestasi kepada komitmen dan iltizam terhadap usaha-usaha memartabatkan institusi keluarga ke arah membina sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berkualiti dan institusi keluarga yang sejahtera. Majlis ini merupakan platform yang baik bagi menyebarkan penemuan kajian dan memberikan maklumat yang boleh dijadikan panduan tentang bidang yang perlu diberikan fokus bagi mempertingkatkan kesejahteraan keluarga di Malaysia.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat LPPKN