Ketua Pengarahnya, Abdul Shukur Abdullah berkata, ini berdasarkan kepada Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2006 yang mendapati hanya 47.3 peratus daripada golongan itu telah menjalani ujian pap smear bagi mengesan bahaya penyakit tersebut.

Menurut beliau, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kaum wanita tidak mahu menjalani ujian tersebut antaranya malu, takut dan kurang kesedaran mengenai bahaya penyakit kanser itu.

image

"Pelbagai usaha dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi LPPKN untuk meningkatkan kesedaran kaum wanita supaya menjalani ujian pap smear bagi mengesan kanser servik dalam tempoh antara setahun hingga tiga tahun.

"Sasaran LPPKN adalah dalam tempoh tiga bulan ini sehingga Disember depan, sekurang-kurangnya 10,000 wanita diberi taklimat mengenai pentingnya menjalani ujian pap smear menerusi program turun padang yang kita adakan di semua klinik Nur Sejahtera di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian program `Wellbeing of Women' (WOW) anjuran LPPKN dan Jom Menabung Bersama Bank Rakyat bagi komuniti `Family and Community Empowerment' (FACE) 1.0 di Perkampungan Orang Asli Bukit Payung, di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim Siew Lin dan turut dihadiri Pengarah LPPKN Melaka, Nor Azman Mohd. Nor.

Walaupun kajian NHMS itu dilakukan pada 2006 dan tiada data terkini peratusan mengenai jumlah wanita yang mendapatkan ujian pap smear, Abdul Shukur berharap kempen-kempen kesedaran yang dijalankan oleh LPPKN dapat membantu golongan wanita untuk menjalani ujian tersebut termasuk menerusi program WOW yang dilaksanakan sejak September tahun lalu.

"Sejak September 2017 sehingga September lalu, lebih 60,000 wanita menjalani ujian pap smear yang kita adakan secara percuma di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 224 kes disahkan sebagai kanser servik.

Sementara itu, Siew Lin dalam ucapannya menyambut baik langkah diambil LPPKN mengadakan pelbagai program kemasyarakatan untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita mengenai bahaya kanser.

"Kanser Servik merupakan kanser ketiga paling kerap dihidapi dalam kalangan wanita selepas kanser payu dara dan kanser kolorektal dan berdasarkan kajian sebuah agensi antarabangsa berkaitan kanser, setiap empat minit seorang wanita akan meninggal dunia akibat kanser ini di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.

"Untuk itu kerajaan negeri berharap usaha supaya kita golongan wanita mendapatkan pemeriksaan mengenai bahaya penyakit ini perlu ditingkatkan," katanya.