Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :

HM-BM-berita



TITAH UCAPAN DYMM TUANKU RAJA PERLIS SEMPENA SAMBUTAN HARI IBU DAN BAPA PERINGKAT KEBANGSAAN

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, Saya bersyukur ke kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya, Saya dapat berangkat hadir ke Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan 2018 pada hari ini.

Setinggi-tinggi penghargaan Saya ucapkan kepada pihak Kementerian di atas inisiatif untuk menganjurkan majlis ini di Negeri Perlis. Besarlah harapan Saya agar usaha murni seumpama ini dapat mencapai objektif untuk mensejahterakan institusi keluarga di Malaysia.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Kebahagiaan dalam sesebuah keluarga amat penting sebagai salah satu asas dalam pembentukan sebuah masyarakat yang harmoni. Keluarga yang baik akan dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai jiwa dan jati diri yang tinggi dan seterusnya membentuk sebuah masyarakat yang madani.

Sebagaimana umum mengetahui, Ibu bapa pada masa kini berdepan dengan cabaran yang jauh lebih tinggi dalam mendidik anak-anak disebabkan oleh kepesatan teknologi. Anak-anak pada masa kini bukan sahaja boleh terpengaruh dengan budaya negatif apabila keluar daripada rumah seperti suatu masa dahulu, malah budaya negatif itu boleh menular hanya melalui hujung jari sahaja. Dunia tanpa sempadan menyaksikan bahawa pelbagai perkara negatif boleh tersebar melalui internet dan media sosial.

Sehubungan itu, ibu bapa perlulah bijak untuk menangani cabaran ini dengan memberikan perhatian dan memantau anak-anak mereka. Berilah kasih sayang dan dengarlah luahan hati mereka supaya mereka merasa dekat dengan Kita. Apabila ibu bapa memberikan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak, nescaya mereka akan lebih mudah untuk mendengar dan mengikuti segala nasihat daripada orang tuanya.

Selain tu, ibu bapa juga perlulah bertindak sebagai ‘role-model kepada anak-anak. Sebagai seorang ibu ataupun bapa, Kitalah yang terlebih dahulu harus memiliki akhlak yang mulia, supaya dapat menjadi contoh dan tauladan kepada anak-anak.

Penerapan nilai agama dalam diri anak-anak juga wajib dipupuk dari kecil supaya sebati dalam kehidupan mereka apabila dewasa kelak seperti kata pepatah             ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’. Anak-anak yang membesar di atas dasar iman dan taqwa, Insya-Allah akan mempunyai akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Kepada anak-anak pula, Ingatlah bahawa kedudukan ibu bapa itu sangat mulia di sisi agama. Pelbagai cabaran telah ditempuhi mereka untuk membesarkan kita. Oleh itu, Saya ingin menyeru kepada kepada anak-anak sekalian untuk sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa masing-masing. Tanpa mereka siapalah kita.

Bagi yang masih memiliki ibu dan bapa, pulanglah menziarahi mereka sekerap mungkin. Tunjukkan kasih sayang Kita selagi ada hayat mereka di dunia ini. Bagi yang telah tiada kedua orang tua, berdoalah untuk kesejahteraan mereka. Sesungguhnya, doa anak-anak yang soleh itu akan sampai kepada kedua orang tuanya. Insya-Allah.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Mudah-mudahan dengan Sambutan Hari Ibu dan Bapa yang diadakan seperti hari ini akan dapat mengeratkan lagi kasih sayang antara Kita dan insan yang istimewa dalam hidup Kita iaitu ibu dan bapa sepertimana tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Ibu dan Bapa Anugerah Terindah’.

Akhir titah, Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di atas penganjuran sambutan pada kali ini.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmannir Rahim, Saya Merasmikan Sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan 2018.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.