Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :

HM-BM-berita



PERHIMPUNAN BULANAN LPPKN JUN 2017

IMG 20170531 WA0013

LPPKN, 1 Jun 2017 (Khamis), 8.40 pagi
Perutusan Ketua Pengarah LPPKN

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera salam kekeluargaan dan salam 1Malaysia.

Yang Berusaha Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan);
Pengarah-pengarah Sektor;
Pengarah LPPKN Wilayah Persekutuan;
Pegawai-Pegawai Kanan;
Tuan-tuan dan puan-puan warga LPPKN yang dihormati sekalian.

Bersempena Perhimpunan Bulanan Jun yang dianjurkan oleh Sektor Perkhidmatan Keluarga (SPK), sambutan Perhimpuanan Bulanan ini diadakan secara langsung buat pertama kalinya.
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran setinggi-tingginya ke hadrat Allah subhanahuwata’ala dengan limpah kurnia serta keizinan-Nya, dapat kita bersama-sama menyambut kedatangan Bulan Ramadhan pada tahun ini.
Biar pun kita sudah berada di dalam bulan Ramadhan, saya tetap dapat merasakan bahawa kita sebagai warga LPPKN mempunyai aura dan semangat yang begitu kuat pada organisasi. Ia sangat istimewa kerana setiap daripada kita sebagai warga LPPKN meraikan dan diraikan. Ini kerana bulan Mei adalah bulan bagi meraikan Hari Pekerja, Hari Jururawat, Hari Ibu dan Hari Ulang tahun Keluarga Sedunia yang kesemuanya jatuh pada bulan Mei serta Hari Bapa yang jatuh pada bulan Jun. Sambutan-sambutan seperti ini memberi peluang kepada kita semua untuk menghargai dan rasa dihargai selain menjadi platform menyemarakkan rasa muhibah yang terjalin sesama kita warga LPPKN.

Hari Pekerja & Hari Jururawat
Tuan-tuan dan Puan-puan,

1. “Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi”. Itulah tema Hari Pekerja Tahun 2017. Seiring dengan peredaran zaman, keperluan majikan masa kini turut berubah mengikut rentaknya. Kemahiran ‘Employability’ atau ‘soft skill’ merupakan kebolehan bukan teknikal yang sama pentingnya dengan kemahiran teknikal. Ia termasuklah aspek gambaran personel seperti sikap, tabiat, tingkah laku, cara berkomunikasi, penyelesaian masalah, kemahiran membuat keputusan serta pengurusan organisasi. Era ini pihak majikan inginkan pekerja yang tidak hanya cemerlang di dalam peperiksaan, tetapi mereka perlu memiliki kualiti individu yang ‘fantastic, talented, creative and motivated’.

2. Kita turut berbesar hati meraikan sebahagian pendukung aspirasi LPPKN yang terdiri daripada Jururawat. Suka saya memetik kata bijak pandai yang berbunyi ‘Nurses are the hospitality of the hospital’. Bait kata ini jelas menggambarkan bahawa para Jururawat adalah duta kecil dalam sesebuah organisasi. Jika orang bercinta selalu berkata ‘love at first sight’, maka kepada semua Jururawat kita, manipulasikanlah segala kepakaran dan kemahiran yang ada untuk menambat hati pelanggan serta menjulang imej LPPKN melalui perkhidmatan yang terbaik, profesional dan berkualiti. Kita harus bersedia mengatur kedudukan di dalam grid perkhidmatan subfertiliti dan perancang keluarga mengikut orientasi global. Ia amat bertepatan dengan tema Hari Jururawat pada tahun ini iaitu ‘Nurses A Voice to Lead Achieving The SDGs’ yang telah disambut pada 12 Mei 2017.

3. Justeru saya menyeru seluruh warga LPPKN yang dikasihi, penuhilah dada dengan ilmu dan kemahiran kerana bukan semuanya boleh diperoleh daripada buku yang tebal, sedangkan pengalaman seharian yang jika dilihat dengan mata akal itu juga berupaya meningkatkan nilai seseorang. Marilah kita mendepani cabaran secara berpasukan, saling lengkap melengkapi bagi memastikan LPPKN tetap cemerlang di persada perkhidmatan awam, sentiasa relevan, diterima serta dekat di hati rakyat.

Mudik ke hulu memasang pukat,
Air diranduk separas betis,
Dalam perjuangan mesti muafakat,
Ikhlaskan niat barulah manis.

Hari Ibu & Hari Bapa
Tuan-tuan dan Puan-puan,

1. ‘Kasihnya ibu membawa ke syurga’, ‘Kasihnya ayah ikhlas suci kekal abadi’, persoalannya… ‘kasihnya anak harus bagaimana?’. Tepuk dada, tanyalah akal dan hati kita. Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2017 telah diraikan dengan cukup sederhana tetapi meriah di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya pada 11 - 14 Mei yang lalu dengan tema ‘Saya Sayang Ibu Saya’. Manakala Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan setiap tahun akan diraikan pada bulan Jun. Tema ‘Saya Sayang Ibu Saya’ dan “Saya Sayang Bapa Saya’ memberi mesej peri pentingnya mengasihi dan menyantuni insan yang banyak berjasa di dalam hidup kita. Kasih sayang seorang anak bukan setakat memenuhi keperluan material semata-mata, bahkan memberikan perhatian apabila mereka bercakap, menghabiskan masa berkualiti bersama walaupun sekejap dan sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa adalah bagaimana seorang anak menzahirkan rasa kasih mereka.

2. Oleh itu, marilah kita bersama ingat mengingati agar menjadi pemimpin, ayah, ibu dan anak yang sentiasa berusaha mengimbangi tanggungjawab mencari kebahagiaan dan membahagiakan insan-insan penting dalam hidup kita.

Hari Keluarga Sedunia
Tuan-tuan dan Puan-puan,

1. Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam memperkasakan fungsi keluarga, kita bersyukur kerana dunia turut mengiktiraf kepentingan institusi keluarga ini dengan sambutan Hari Keluarga Sedunia yang disambut pada 15 Mei setiap tahun. Tema Hari Keluarga Sedunia pada tahun ini adalah ‘A Loving Family Is Every Child’s Right’. Pembentukan keluarga yang harmoni bukan sahaja dari dalam keluarga sendiri, bahkan lebih dari itu. Kita harus melihat kepada persekitaran, membina jambatan perhubungan dengan keluarga jiran tetangga dan rakan-rakan tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama. Dengan itu, persekitaran keluarga yang kondusif akan terjalin serta dapat melahirkan jaringan komuniti yang tinggi nilai kekeluargaan dalam sesebuah masyarakat.

Aktiviti LPPKN
Tuan-tuan dan Puan-puan,

1. Seminar Keseimbangan Hidup Berkerjaya – Work Life Balance telah diadakan pada 13 Mei 2017 bertempat di Dewan Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur bertemakan ‘Ke Arah Budaya Kerja Mesra Keluarga’. Seminar anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ini turut menjelaskan dasar dan bantuan yang telah disediakan kerajaan untuk menggalakkan majikan membina budaya kerja yang mesra keluarga. Objektif utama seminar ini adalah untuk:
• Mengenal pasti kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan majikan melaksanakan tempat kerja mesra keluarga;
• Mengenal pasti faktor-faktor untuk memantapkan budaya kerja mesra keluarga; dan
• Menentukan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk meningkat advokasi budaya kerja mesra keluarga.

Pelbagai input bermanfaat dan tip berguna telah dikongsi berkaitan keseimbangan hidup berkeluarga dan berkerjaya oleh para panelis seminar.

2. Konvensyen Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) telah dengan jayanya berlangsung di Pullman Hotel pada 11 – 12 Mei 2017 bertemakan ‘Wanita abad ke-21 Mendepani Perubahan’. Ini merupakan program tahun KPWKM dan agensi di bawahnya iaitu LPPKN dan JPW.

3. ‘Sejahtera Wanita dan Keluarga’ merupakan tema Karnival MamaCare yang telah diadakan pada 16 – 19 Mei 2017 di Ruang Legar MARA, Jalan Raja Laut. Tujuan utama karnival ini adalah untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh LPPKN khususnya perkhidmatan MamaCare.

Flexible Working Arrangements (FWA)
Tuan-tuan dan Puan-puan,

Untuk makluman semua, pada 6 April 2017 yang lalu, Sektor Pengurusan Sumber Manusia telah membentangkan hasil dapatan daripada soal selidik Flexible Working Arrangements (FWA) tahun 2016. Berdasarkan daripada pembentangan tersebut, pihak Pengurusan LPPKN telah bersetuju untuk:
i) Memperkenalkan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) – WP4 di LPPKN; dan
ii) Pemanjangan FWA: pulang awal pada hari Jumaat untuk anggota pekerja lelaki LPPKN melalui pemendekan waktu rehat.
• Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bilangan 11 Tahun 2017 yang telah bersidang pada 26 April 2017 telah meluluskan Perlaksanaan Waktu Bekerja (WBB) – Waktu Peringkat WP4. Projek perintis ini akan dilaksanakan selama TIGA (3) bulan di LPPKN Ibu Pejabat dan akan berkuat kuasa pada 2 Mei 2017 (Selasa).
• Manakala pemanjangan Flexible Working Arrangements (FWA): Pulang awal pada Hari Jumaat untuk anggota pekerja lelaki LPPKN melalui Pemendekan Waktu Rehat akan berkuat kuasa dalam tempoh terdekat berdasarkan tinjauan pendapat yang telah dilaksanakan oleh Sektor Pengurusan Sumber Manusia (SPSM).

Sebelum saya akhiri ucapan, saya menyeru sekali lagi kepada semua warga LPPKN marilah kita memberikan kerjasama serta komitmen yang jitu dan padu untuk menjayakan aktiviti dan program yang telah dirancang untuk sepanjang tahun 2017. Bersama-samalah kita menanamkan azam dan tekad untuk menyumbang ke arah mencapai Visi dan Misi LPPKN, organisasi yang kita cintai ini.

Saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Sektor Perkhidmatan Keluarga selaku tuan rumah perhimpunan bulanan LPPKN kali ini.
Saya berharap agar semua warga LPPKN dapat mengeratkan lagi semangat kekeluargaan sesama kita di samping membuka minda agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran yang mendatang. Di sini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhanal-mubarak kepada warga LPPKN yang beragama Islam. Dengan itu saya akhiri dengan serangkap pantun.

Pohon kenanga di tepi perigi,
Harum seroja kembang pagi,
Terima kasih sekalung budi,
Dilain masa bertemu lagi.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Terima kasih.