Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


FORUM PENYEBARAN DATA HASIL PENYELIDIKAN LPPKN SIRI 3

Gambar Pembentang Web 2

Meneruskan perjanjian kerjasama (MoU) di antara Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Universiti Malaya (UM), Sektor Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga (SPKK) dengan kerjasama Unit Pengajian Kependudukan (PSU), Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEA), UM telah menganjurkan Forum Penyebaran Data Hasil Penyelidikan LPPKN Siri 3 pada 22 November 2017 (Rabu) bertempat di Dewan FEA, Universiti Malaya.

Tujuan forum ini dianjurkan adalah untuk berkongsi dan menyebarkan hasil penemuan penyelidikan yang telah dijalankan oleh penyelidik dalaman dan luar LPPKN dengan menggunakan data kajian dari LPPKN. Selain itu, forum ini juga akan menjadi platform penjanaan idea kajian baru seterusnya dapat meningkatkan pengetahuan para peserta berkaitan penyelidikan dan analisa data penduduk dan keluarga di Malaysia.

             Ketibaan Dato KP Web Peserta forum 1 Web 

Forum separuh hari ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Dr. Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN. Seramai lapan orang pembentang telah membentangkan kertas kerja mereka yang meliputi 3 bidang utama iaitu kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif. Pembentangan dibahagikan kepada dua sesi di mana empat kertas dibentangkan dalam setiap sesi diikuti sesi pertanyaan diantara peserta dan pembentang. Hampir 200 peserta telah hadir dan mengambil bahagian yang terdiri daripada wakil agensi/ Jabatan/ Kementerian, ahli akademik dan pelajar dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, wakil dari Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan. Kehadiran memberangsangkan ini membuktikan keprihatinan Kerajaan dan institut penyelidikan dalam mengambil kira faktor kependudukan bagi perancangan pembangunan sosio-ekonomi negara. Tidak hanya bermatlamat menyebarluaskan hasil penyelidikan lanjutan, YBhg. Dato' Dr. Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN dalam ucapannya berharap forum seumpama ini dapat mencapai objektif penganjurannya dalam menjana idea dan meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam bidang penyelidikan, sebagaimana yang disebut Neil Armstrong, "Research is creating new knowledge".

Hasil pembentangan kertas kerja dalam forum ini boleh didapati melalui laman sesawang http://familyrepository.lppkn.gov.my