Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


PROGRAM EKOFAMILI 2017 Peringkat Negeri Perak

Bandar Behrang 2020, Perak, 22 Julai 2017 – Program EKOFAMILI 2017 Peringkat Negeri Perak telah dilaksanakan di Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020. Program yang dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2017 telah dihadiri kira-kira 300 orang yang terdiri daripada komuniti FACE Bandar Behrang 2020. Program telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Dr Siti Norlasiah Binti Ismail, Ketua Pengarah LPPKN.

 

Program yang dinamakan EKOFAMILI 2017 ini telah dirancang  berdasarkan penemuan kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK 2016) yang mendapati domain Perumahan dan Persekitaran mencatatkan skor domain keseluruhan terendah iaitu pada skor 6.24 daripada skala maksimum 10. Penemuan tersebut menunjukkan kepentingan dan keperluan untuk semua pihak sama ada pihak kerajaan, swasta, NGO dan komuniti untuk bekerjasama dalam menggerakkan program-program intervensi yang bersesuaian untuk menyelesaikan isu-isu dan permasalahan yang berkaitan dengan domain Perumahan dan Persekitaran.

Objektif Program EKOFAMILI yang dijalankan adalah untuk meningkatkan kesedaran keluarga dan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar demi generasi akan datang; memberi pengetahuan dan kemahiran kepada keluarga dan masyarakat mengenai cara mengamalkan gaya hidup 3R dalam kehidupan harian; dan membantu meningkatkan skor domain perumahan dan persekitaran IKK 2016. Intervensi seperti ini diharap dapat meningkatkan kelestarian penduduk dengan alam sekitar selaras dengan salah satu Matlamat Pembangunan Lestari Sustainable Development Goals atau SDG yang ditetapkan iaitu "Keseimbangan di Bandar dan Komuniti" agar  generasi pada masa hadapan dapat menikmati persekitaran yang bersih, sihat dan harmoni.

 

Bagi memeriahkan program, berbagai-bagai aktiviti turut dilaksanakan seperti aktiviti gotong-royong membersih masjid, pertandingan mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah, pertandingan jualan barangan kitar semula terbanyak, bengkel pembuatan baja kompos dan pelantikan ikon kitar semula komuniti FACE. Pelaksanaan program EKOFAMILI ini telah mendapat kerjasama dari pihak SWCorp Perak, JK Penduduk dan  KRT dan JK Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020.

 

Disediakan oleh :

Unit Penerangan & Pendidikan LPPKN Perak