Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


LPPKN DAN PERSATUAN LIFE LINE MALAYSIA MENTERAI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN

mou

 

KUALA LUMPUR, 29 NOV.-  Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) hari ini mementerai satu perjanjian persefahaman (MOU) dengan Persatuan Life Line Malaysia dalam perkongsian kepakaran bidang latihan kejurulatihan, perlaksanaan program, perkhidmatan kekeluargaan dan kemasyarakatan serta perkongsian data, penyelidikan dan bahan penerbitan.

Menurut Pengerusi LPPKN, Dato' Mariam Mas Yacob, perjanjian ini adalah kesinambungan kepada kerjasama yang telah sekian lama terjalin di antara kedua-dua pihak. "Sebelum ini Persatuan Life Line pernah melaksanakan 10 siri program kerjasama SMARTSTART.  Seramai 476 peserta iaitu 238 pasangan telah mengikuti kursus pra perkahwinan tersebut bermula tahun 2007 hingga 2016. Sehubungan itu, MOU ini adalah satu perkembangan positif kepada kedua-dua pihak untuk melangkah ke arah satu lagi fasa iaitu kerjasama strategik ini dimeterai secara rasmi dalam bentuk MoU bagi meluaskan dan memperakui bidang kerjasama yang boleh diteroka," tambah Mariam, usai majlis selesai.

Majlis yang diadakan di Pusat Remaja kafe@TEEN, Pusat Transformasi Bandar (UTC) turut dihadiri oleh Dato' Dr. Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN, Soh Ban Aun, Presiden Persatuan Life Line Malaysia dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN.

Antara perkara yang mendapat perhatian dalam bidang kerjasama ini termasuklan kaunseling keluarga dan kanak-kanak seperti program Play Therapy yang boleh membantu sesi kaunseling keluarga khususnya masalah keibubapaan dan keluarga melibatkan kanak-kanak.

LPPKN di bawah KPWKM merupakan agensi utama yang memberikan fokus terhadap kesejahteraan keluarga di Malaysia, manakala Persatuan Life Line Malaysia merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan atau NGO yang menjadi rakan strategik LPPKN semenjak tahun 2007 dalam perlaksanaan program pra perkahwinan SMARTSTART dan berperanan untuk membantu keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan kekeluargaan dan kemasyarakatan yang berteraskan kaunseling.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat