Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


83 PASANGAN PENGANTIN DIRAI DALAM WALIMATULURUS PERDANA PERINGKAT NEGERI KEDAH

 

WhatsApp Image 2016 11 15 at 13.07.02 

 

JITRA, 12 November -  Seramai 83 pasangan pengantin diraikan secara besar-besaran sempena Majlis Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah 2016 yang julung-julung kali diadakan di Negeri Kedah sekaligus sebagai simbolik Pelancaran Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia. Daripada jumlah itu 80 pasangan pengantin Melayu, 2 India dan 1 Siam.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Rohani Abdul Karim, majlis ini juga bertepatan dengan aspirasi Kerajaan dalam memastikan pengukuhan keluarga melalui institusi perkahwinan selain bulan November ini juga merupakan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia.

"Institusi keluarga merupakan komponen sosial yang amat penting dalam masyarakat Malaysia. Ia merupakan asas kepada pembangunan insan yang bahagia ke arah membina sebuah negara yang maju, bermaruah dan dihormati.

"Kesedaran masyarakat yang kurang prihatin terhadap kesan pembangunan, sedikit sebanyak telah menghakis kestabilan institusi keluarga. Justeru ini, kerajaan  telah mengambil langkah pro-aktif untuk melaksanakan program dan aktiviti seperti Bulan Keluarga Kebangsaan ini kearah memperkukuhkan institusi keluarga di negara kita," katanya ketika merasmikan majlis, di sini, hari ini.

Hadir sama, YAB Menteri  Besar Kedah, Dato Seri Ahmad Bashah Ahmad Hanipah, EXCO Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Kebajikan Wanita Negeri Kedah yang juga Ahli Dewan  Undangan Negeri Sungai Tiang, YB Datuk Suraya Yaacob dan Ketua Setiausaha Kementerian Dr Rose Lena Lazemi.

Jelas Rohani, sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan institusi keluarga terus kukuh, pada tahun 2012 kerajaan telah mengisytiharkan bulan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia, di mana semua majikan di Malaysia, digalakkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti hari keluarga yang dapat mengeratkan hubungan dan memberikan manfaat kepada pekerja dan keluarga mereka.  Sambutan hari keluarga kepada pekerja juga termasuk di dalam perbelanjaan keraian yang dibenarkan potongan seratus peratus LHDN.

Katanya lagi, melalui Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2011, didapati Indeks Kesejateraan Keluarga yang dicatatkan adalah 7.55 pada skor maksimum 10. Daripada tujuh domain yang telah dikenalpasti, didapati domain Keluarga dan Agama/Kerohanian mencatatkan skor kesejahteraan tertinggi iaitu 8.25. Ini diikuti oleh domain Keluarga dan Komuniti, Hubungan Kekeluargaan Keselamatan Keluarga, Kesihatan Keluarga, Keluarga dan Persekitaran dan Ekonomi Keluarga.

Majlis itu meraikan pasangan pengantin anak- anak Kedah berumur 18 tahun ke atas dan golongan berpendapatan LIH/B40.

Setiap pasangan juga perlu membayar yuran komitmen sebanyak RM500 dan menyertai Kursus SmartStart anjuran LPPKN untuk membantu mereka memperoleh ilmu alam menguruskan alam perkahwinan serta memahami dengan jelas peranan suami/isteri dalam mengukuhkan ikatan perkahwinan.

oleh : Unit Komunikasi Korporat