Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


WACANA PENYELIDIKAN KAJIAN FAKTOR RISIKO DAN PERLINDUNG TERHADAP KESIHATAN SEKSUAL DAN REPRODUKTIF REMAJA DI SABAH DAN SARAWAK

3

 

PUTRAJAYA, 9 September –Modul Pendidikan Reproduktif dan Seksual Remaja Lelaki akan diperkenalkan pada Oktober ini oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebagai langkah menangani masalah salah laku seks kalangan remaja.  Perkara ini dinyatakan oleh Dr. Rose Lena Binti Lazemi, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapan penutup Wacana Penyelidikan Kajian Faktor Risiko Dan Pelindung Terhadap Kesihatan Seksual Dan Reproduktif Remaja Di Sabah Dan Sarawak, di sini, hari ini.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2015 mencatatkan seramai 13, 831 kes remaja hamil (10- 19 tahun) dan 3,980 kes (28.8%) daripadanya  tidak berkahwin. Melalui sumber tersebut lima (5) negeri teratas yang mencatatkan kes kehamilan remaja tertinggi ialah Sabah (3,084 kes), Sarawak (2,910 kes), Selangor (1,461 kes), Johor (1,319 kes) dan Pahang (940 kes).

Oleh yang demikian menurut Dr. Rose Lina, LPPKN sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam bidang kesihatan reproduktif mengambil inisiatif untuk menangani masalah ini dengan membangunkan modul khas remaja lelaki berumur 16 tahun ke atas pada tahun sama. 

 Antara kandungan modul adalah isu seks sebelum berkahwin, variasi seks, kehamilan remaja, penderaan seksual, isu gender dan penyakit kelamin termasuk HIV/AIDS.

"Modul ini diharap akan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan kehidupan seksual dan reproduktif yang sihat dan juga kesaksamaan gender demi kesejahteraan hidup di masa hadapan. Modul ini akan mula dirintis pada Oktober ini  di lima (5) buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah", tambah Rose Lena.

4

 

Dalam ucapannya juga, Rose Lena menyatakan dapatan awal kajianFaktor Risiko Dan Pelindung Terhadap Kesihatan Seksual Dan Reproduktif Remaja Di Sabah Dan Sarawak  mendapati minimum umur pertama kali melakukan hubungan seks bagi remaja Sarawak adalah 15.6 tahun bagi pelajar sekolah, 17.7 tahun bagi pelajar universiti dan 19.1 tahun bagi remaja di luar pengajian.

Manakala  bagi negeri Sabah purata umur pertama kali melakukan hubungan seks bagi remaja pelajar sekolah adalah 14.9, pelajar universiti adalah 18.3 tahun dan luar pengajian adalah 19.7 tahun.  Ini bermakna pengetahunan mengenai seks remaja Sabah adalah tinggi berbanding Sarawak.

Antara faktor pelindung yang dikenalpasti adalah kepercayaan kepada agama dan pengawasan ibu bapa lebih dari lima (5) jam.  Faktor risiko pula ialah pengaruh alkohol, pendedahan kepada bahan-bahan pornografi, dating, mengunjungi kelab malam dan mempunyai rakan yang pernah terlibat dengan seks sebelum berkahwin.

Wacana dengan kerjasama  United Nations Population Fund (UNFPA) ini  turut dihadiri oleh Dato' Mariam Mas Yaakob, Pengerusi LPPKN,  Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN dan Tengku Aira Tengku Arif, wakil UNFPA Malaysia.