Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


SEMINAR KEBANGSAAN WASATIYYAH INSTITUSI KELUARGA DALAM MENDEPANI CABARAN DUNIA

wasatiyah collage

 

PUTRAJAYA, 6 September –Seminar bertajuk Insitusi Keluarga Dalam Mendepani Cabaran Dunia anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri adalah antara langkah yang diambil untuk memupuk semangat wasatiyyah dalam institusi keluarga.  Perkara ini ditegaskan oleh Dr. Rose Lena binti Lazemi, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapan perasmian program berkenaan di sini, hari ini.

 "Dalam cabaran dunia masa kini dan era globalisasi yang bergerak pantas, institusi keluarga haruslah dipertahankan dan diperkukuhkan dengan sifat saling berkasih sayang, berakhlak, sihat serta selamat, berilmu dan harmoni dari segala aspek.  Ia merupakan satu usaha dan tanggungjawab dalam membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang menghayati nilai-nilai dan etika yang unggul berteraskan konsep wasatiyyah dalam segenap aspek kehidupan", tambah Dr. Rose Lena.

Menurut beliau, memahami konsep wasatiyyah dalam keluarga juga mampu mengatasi masalah seperti penyalahgunaan maklumat di internet.  Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media pada tahun 2014,  mendapati penggunaan internet tertinggi adalah kalangan generasi muda berumur antara 20-24 tahun yang meliputi hampir satu perempat (24.2%) daripada pangkalan pengguna.  Pengguna yang berumur  25-29 tahun adalah sebanyak 19.3%, sementara pengguna berumur di antara 35 tahun dan ke atas mempunyai kurang daripada 10%.

“Emosi dan fikiran anak-anak di usia  awal sedang dibentuk dan sudah tentu mudah terpengaruh sama ada perkara yang baik atau buruk. Keadaan ini cukup menggambarkan kepentingan ibu bapa supaya lebih peka dengan apa yang dilakukan oleh anak-anak ketika melayari internet”, tambah beliau lagi.

Dalam ucapannya juga, beliau mengingatkan kembali mengenai Kempen 'No Mobile During Dinner' yang dilaksanakan oleh NGO, Focus On The Family dan disokong oleh Kementerian melalui LPPKN pada 20 Mei masih diteruskan sehingga November ini.  Masyarakat diseru untuk sama-sama menyokong kempen ini bukan sahaja ketika mengunjungi restoran yang mengambil bahagian malah boleh diwujudkan di rumah sendiri. 

Untuk rekod, sebanyak 60 buah premis restoran sekitar Lembah Klang telah mengambil bahagian dalan kempen No Mobile During Dinner itu.

Seminar turut dihadiri oleh Dato' Mariam Mas Yaakob, Pengerusi LPPKN,  Dato’ Haji Mohd Yusof bin Din, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN dan lebih 300 peserta terdiri daripada para akademik, penjawat awam dan para pemimpin NGO setempat.