Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


PERSIDANGAN KEBANGSAAN MENGENAI KEPENDUDUKAN DAN MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI 2016

PUTRAJAYA, 20 Julai: Hampir 65.00% remaja perempuan di negara ini ingin memiliki ijazah sebagai tahap pendidikan tertinggi yang ingin dicapaimenurut dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) 2014 yang dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Malaysia (LPPKN). Perkara ini dinyatakan oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan Mengenai Matlamat Pembangunan Lestari, di sini, hari ini.

Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 31 juta orang pada tahun 2015. Daripada jumlah tersebut 17.7% atau 5.49 juta adalah remaja berumur di antara 10-19 tahun di mana 48.5% atau 2.66 juta adalah remaja perempuan. Golongan ini merupakan bonus, hasil daripada transisi demografi yang sedang berlaku. Mereka, tidak kira lelaki atau perempuan, adalah generasi pelapis, sama ada sebagai profesional atau pemimpin yang akan membangun negara dan mensejahterakan rakyat di masa hadapan.

Menurut YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, "Pelaburan ke atas mereka terutamanya dalam pendidikan, kesihatan, serta perlindungan keselamatan sosial adalah pelaburan yang berbaloi dan menguntungkan negara pada pada masa hadapan. Walaupun pelaburan bagi kumpulan ini adalah tinggi tetapi ianya boleh menjadi dividen jika potensi mereka dapat digembleng dengan cara yang positif".

Komitmen dan usaha tinggi dalam pendidikan remaja perempuan di Malaysia terbukti berhasil apabila golongan perempuan mendominasi enrolmen pelajar di peringkat universiti berbanding lelaki sejak tahun 2008 dengan purata peratusan sebanyak 60.1%. Hasil pendidikan bersepadu ini juga berjaya melahirkan kelompok generasi perempuan beraspirasi tinggi, tambah Rohani.

Persidangan anjuran bersama LPPKN, Universiti Malaya (UM) dan United Nations Population Funds (UNFPA) dilaksanakan bersempena Hari Penduduk Sedunia 2016 yang disambut pada 11 Julai setiap tahun. Pada tahun ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah memilih "Investing in Teenage Girls" sebagai tema sambutan.

Turut diadakan pada hari ini ialah pameran produk dan kejayaan LPPKN dalam melaksanakan program kependudukan serta kekeluargaan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sebelum itu, pada sebelah pagi beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh panel jemputan termasuk oleh Dr. Jamaluddin Abdul Aziz, Pakar Gender KPWKM. Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Rose Lena Lazemi, Ketua Setiausaha KPWKM, Dato' Mariam Mas Yaakob, Pengerusi LPPKN, Prof. Dr. Kamila Binti Ghazali, Penolong Naib Canselor (Antarabangsa), UM dan Saira Shameem, Penasihat Program UNFPA Malaysia serta 200 peserta kalangan profesional dan akademik jabatan dan kementerian.

13697008 1746907248915495 4129181263370147190 n

 

 

MUAT TURUN SLIDE PEMBENTANGAN