Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :
BULAN KELUARGA KEBANGSAAN 1 MALAYSIA


RENCANA KHAS SEMPENA HARI PENDUDUK SEDUNIA 2016

 

Melabur Ke Atas Remaja Perempuan

Semenjak tahun 1990 Malaysia, seperti lain-lain negara di dunia, akan menyambut Hari Penduduk Sedunia pada tanggal 11 Julai setiap tahun. Sambutan Hari Penduduk Sedunia ini adalah bertujuan untuk mengetengahkan isu-isu semasa berkaitan penduduk dan pembangunan kepada para penggubal dasar, perancang dan pengurus program untuk diambil kira dalam perancangan pembangunan negara. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat umum mengenai hubung kait di antara penduduk dan pembangunan negara.

Bagi tahun 2016, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tema "Investing in Teenage Girls". Tema ini dipilih kerana remaja perempuan menghadapi cabaran yang lebih besar dan kritikal berbanding dengan remaja lelaki. Di kebanyakan negara membangun, kanak-kanak perempuan dipaksa meninggalkan alam persekolahan dan dikahwinkan apabila mereka mencapai usia remaja. Mereka akan menghadapi risiko kesihatan yang berpanjangan kerana berkahwin dan melahirkan anak dalam usia yang muda. Tanpa pelajaran dan tahap kesihatan yang rendah, potensi mereka tidak dapat digembleng dan mereka akan sentiasa berada dalam kancah kemiskinan. Pelaburan ke atas remaja perempuan terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan akan dapat memperkasakan mereka untuk menggunakan potensi sepenuhnya yang akan menjana pembangunan ekonomi dan sosial kepada komuniti dan negara.

Menurut unjuran PBB, penduduk dunia pada tahun 2015 adalah sebanyak 7.3 bilion orang dengan 1.8 bilion adalah terdiri daripada penduduk muda berumur 10 hingga 24 tahun. Pada tahun 2015, UNFPA menganggarkan terdapat lebih 79 juta remaja perempuan dilaporkan telah berkahwin sebelum atau pada umur 18 tahun. Rekod menunjukkan seramai 20,000 remaja perempuan berumur di antara 15 hingga 19 tahun melahirkan anak setiap hari di seluruh dunia. Tidak kesemua kehamilan tersebut diingini, sebanyak 3.2 juta pengguguran tidak selamat direkodkan berlaku setiap tahun. Di Malaysia, dapatan Banci Penduduk 2010 mendapati seramai 84 ribu wanita dari 1.38 juta wanita yang berumur 15-19 tahun telah berkahwin pada tahun 2010. Perangkaan kelahiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan kira-kira 1.2% (atau hampir 17,000) wanita yang berumur 15-19 telah melahirkan anak pada tahun 2014. Perkahwinan awal jelas merupakan satu pencabulan serius terhadap hak kanak-kanak untuk menikmati zaman remaja. Ia menyekat remaja perempuan daripada menerima pendidikan sempurna seterusnya menghalang mereka dari mencapai potensi diri yang maksimum.

Menghentikan perkahwinan awal memerlukan tindakan di pelbagai peringkat. Undang-undang sedia ada terhadap perkahwinan di usia kanak-kanak haruslah dikuatkuasakan. Dalam hal ini, kerajaan, masyarakat dan pihak bertanggungjawab perlu bekerjasama untuk memastikan remaja perempuan di seluruh dunia mempunyai akses kepada pendidikan, perkhidmatan dan maklumat kesihatan reproduktif. Memiliki pendidikan lengkap khususnya pendidikan seksual akan memperkasakan remaja perempuan tentang hak-hak mereka, dapat membuat keputusan yang tepat seterusnya membuka peluang luas mencapai potensi diri mereka.

Di Malaysia, pelaburan pendidikan bagi golongan wanita adalah perkara yang sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan Negara. Ini kerana wanita mempunyai peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan negara.Komitmen dan usaha tinggi dalam pendidikan remaja perempuan berhasil apabila golongan perempuan sejak tahun 2008 mendominasi enrolmen pelajar di peringkat universiti berbanding lelaki dengan peratusan purata 60.1% setiap tahun. Hasil pendidikan bersepadu ini juga berjaya melahirkan kelompok generasi perempuan beraspirasi tinggi apabila dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima 2014 menunjukkan 59% remaja perempuan di Malaysia ingin memiliki ijazah sebagai tahap pendidikan tertinggi yang ingin dicapai. Usaha berterusan ini mencerminkan usaha Kerajaan dalam mengoptimumkan potensi remaja perempuan sekaligus menyediakan peluang dalam pasaran pekerjaan agar bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Negara.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan pelbagai program pendidikan dengan pengenalan Dasar dan Pelan Tindakan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan 2009 bagi mendidik dan mewujudkan kesedaran kepada remaja dan ibu bapa mengenai isu perkahwinan awal di samping meningkatkan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif remaja. Merentasi pelbagai agensi, penganjuran program seperti kafe@TEEN, PEKERTI, Keluarga@Kerja, SMARTSTART, SPEKTRA, Generasi Ku Sayang dan Remaja Berwawasan bermatlamat untuk melahirkan generasi remaja yang berpengetahuan dan memiliki sikap positif dalam membuat pilihan bijak mengenai kesihatan reproduktif mereka. Usaha juga ditumpukan kepada aktiviti penyelidikan melalui siri Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia dan Kajian Faktor Risko dan Perlindung Terhadap Kesihatan Seksual dan Reproduktif bagi melihat dengan lebih dekat aspek kesihatan reproduktif remaja.

Dalam melaksanakan apa-apa dasar dan program pembangunan, Malaysia tidak pernah membezakan gender. Wanita di Malaysia kini telah mencapai pelbagai aras kejayaan hasil peluang pendidikan yang berkualiti yang dimiliki, jauh berbeza berbanding dahulu. Wanita di Malaysia bebas menceburi dalam apa jua bidang yang mereka minati. Dasar kerajaan terhadap kesaksamaan gender dan kepentingan wanita dan keluarga dalam arus pembangunan negara jelas ditunjukkan melalui pelbagai rancangan negara.

Sempena dengan Hari Penduduk Sedunia 2016, LPPKN akan mengadakan satu persidangan kependudukan yang bertemakan “The Sustainable Development Goals” dengan kerjasama Unit Pengajian Kependudukan, Universiti Malaya dan United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia. Persidangan ini akan diadakan pada 20 Julai 2016 di Putrajaya yang akan membincangkan pelbagai bidang berkaitan dengan Sustainable Development Goals seperti big data, kelestarian alam sekitar, kesihatan reproduktif, kesaksamaan gender, pelaburan ke atas warga muda, dan jaminan sosial warga emas.

Malaysia terus memperbaharui komitmennya ke arah kehidupan rakyat yang lebih aman, makmur dan sejahtera. Kerajaan akan terus menggandakan usaha ke arah mempertingkatkan lagi tahap kesihatan reproduktif, memperkasakan wanita, pembangunan mapan ke arah kesejahteraan penduduk dan keluarga. Memang menjadi hasrat kerajaan agar tiada individu atau kaum atau kelompok yang terpinggir dari menikmati hasil daripada pembangunan yang berlaku. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak patut terletak hanya di bahu kerajaan semata-mata, tetapi juga menjadi tanggungjawab semua pihak seperti pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGOs), komuniti dan lain-lain pertubuhan masyarakat.

Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak UNFPA Malaysia yang merupakan rakan dalam pelaksanaan program kependudukan di Malaysia.

 

 

DISEDIAKAN OLEH:

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

LPPKN